Ketegasan GRS Perkukuh Parti Tempatan Demi Kestabilan Sabah – Nizam

Ketegasan GRS Perkukuh Parti Tempatan Demi Kestabilan Sabah – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memperkasakan parti-parti tempatan sebagai teras utama pentadbiran negeri, demi kestabilan politik dan kemajuan berterusan di Sabah.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pendirian Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung keutamaan parti tempatan dalam mencorak hala tuju politik negeri adalah wajar dan berpandangan jauh.

“Sebagai parti yang berpaksikan rakyat Sabah, kami yakin hanya parti-parti tempatan yang benar-benar memahami realiti, budaya, serta keperluan masyarakat di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sejak menerajui pentadbiran negeri, GRS telah berjaya membawa kestabilan politik menerusi pelaksanaan dasar berteraskan Halatuju Sabah Maju Jaya yang menurutnya telah membuktikan keupayaan kepimpinan tempatan dalam memacu pembangunan.

Mengulas perbincangan politik di peringkat nasional, beliau mengingatkan bahawa kerjasama politik mestilah berlandaskan prinsip saling menghormati.

“Kami menghormati peranan parti-parti nasional dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi suara dan kekuatan tempatan tidak boleh dipinggirkan,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, sebarang percubaan untuk membentuk kerjasama baharu tanpa penglibatan GRS atau di luar kerangka muafakat sedia ada adalah tindakan pra-matang yang mengabaikan aspirasi rakyat Sabah.

Beliau menegaskan bahawa Gagasan Rakyat kekal komited memperkukuh GRS sebagai wadah utama perjuangan politik demi menjamin kestabilan dan menjaga kedaulatan suara tempatan serta memastikan kemajuan berterusan untuk negeri Sabah.