JOHOR BAHRU – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini memberi notis kepada Hup Seng Perusahaan Makanan (M) Sdn Bhd (HSPM) untuk menggantung sementara operasi syarikat itu sehingga 30 September 2021.
HSPM yang merupakan anak syarikat milik penuh Hup Seng Industries Bhd terpaksa menghentikan operasi mereka bagi langkah pembasmian kuman di kawasan yang terjejas.
KKM turut memaklumkan bahawa notis diterima syarikat tersebut yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Tongkang Pecah dekat Batu Pahat, Johor itu adalah bagi membolehkan kerja disinfeksi seluruh premis dilaksanakan.
“HSPM memberikan kerjasama dan bekerja rapat dengan KKM melaksanakan langkah bagi membendung penularan Covid-19 di premis bagi melindungi keselamatan serta kesejahteraan pekerja kami…
“Penggantungan sementara operasi dijangka menyebabkan jumlah kerugian kira-kira 3% daripada pengeluaran tahunan keseluruhan kumpulan,” menurut pengurusan Hup Seng.
Pihak Pengurusan Hup Seng turut menyatakan bahawa penangguhan penghantaran produk kepada pelanggan tempatan dan eksport dijangka berlaku.
Oleh itu, pengurusan ketika ini sedang berbincang untuk menjadualkan semula penghantaran tempahan berkenaan.
Menurut sumber, HSPM menjangkakan untuk menyambung semula operasi selepas 30 September 2021.