Rakyat Sabah di Perantauan Diseru Jadi Duta Budaya Negeri

Rakyat Sabah di Perantauan Diseru Jadi Duta Budaya Negeri

0
SHARE

MELAKA: Rakyat Sabah yang menetap di luar negeri diseru agar menjadi duta budaya dalam mempromosikan keindahan dan keunikan Sabah.

Seruan itu disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai semasa merasmikan Pesta Kaamatan 2025 anjuran KDCA Melaka yang berlangsung di Dewan Boon Leong, SMJK Tinggi Cina Melaka.

“Setiap anak Sabah boleh memainkan peranan mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pilihan dengan berkongsi kisah, makanan tradisional, pakaian dan tarian dari tanah air kita.

“Setiap kali kita berkongsi sesuatu tentang Sabah, itu sudah menjadi satu bentuk promosi yang sangat berharga,” katanya.

Beliau turut menyeru agar rakyat Sabah di perantauan menghayati semangat “Sabahku, Tanggungjawabku, Kebanggaanku”.

Selaras dengan tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan untuk Semua”, Joniston menyambut baik sambutan perayaan Kaamatan di luar Sabah termasuk di Melaka.

“Ini membuktikan bahawa budaya dan warisan adalah jambatan kukuh yang menyatukan masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, Kaamatan bukan sekadar meraikan hasil tuaian yang baik, tetapi turut menjadi platform memperkenalkan budaya Sabah kepada masyarakat luar serta menyokong pelancongan domestik.

“Kita juga berharap usaha mempromosikan pelancongan domestik ini dapat menyumbang ke arah pengukuhan integrasi nasional dan kefahaman antara kaum,” ujarnya.

Sabah mencatatkan kehadiran 3.14 juta pelancong pada tahun lalu, dengan lebih 923,000 pelawat direkodkan pada suku pertama tahun 2025.

Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Sabah giat mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti, pakej mesra keluarga dan destinasi luar bandar yang inklusif dan mampan.

“Fokus utama kami kekal kepada Budaya, Pengembaraan dan Alam Semula Jadi iaitu tunjang sebenar pelancongan Sabah,” jelas Joniston.

Sementara itu, Pengerusi KDCA Melaka, Scholistika Chin menyambut baik cadangan Joniston dan berkata penganjuran Pesta Kaamatan adalah sebahagian komitmen mereka dalam memartabatkan warisan budaya Sabah.

Menurutnya, terdapat komuniti rakyat Sabah yang agak besar di Melaka dengan lebih 300 individu berdaftar sebagai ahli KDCA Melaka.

Sambutan ini turut diserikan dengan pertandingan Unduk Ngadau, persembahan kebudayaan tradisional serta pameran makanan, minuman dan pakaian tradisional Sabah.

Turut hadir mengiringi Joniston ialah Ahli Lembaga Kebudayaan Sabah merangkap Pengerusi Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun.