KOTA KINABALU: Kontinjen Sabah menutup cabaran Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan membawa pulang 30 pingat emas, 27 perak dan 36 gangsa, namun perjuangan untuk meningkatkan kecemerlangan sukan negeri tidak berakhir di temasya berkenaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pencapaian kontinjen Negeri Di Bawah Bayu pada edisi kali ini tetap membanggakan hasil perjuangan atlet, jurulatih, pengurus pasukan serta seluruh petugas sokongan.
“Perjuangan tidak berakhir di Selangor, kita akan terus berusaha, menambah baik kelemahan dan melangkah lebih jauh demi kecemerlangan sukan negeri kita.
“Kepada barisan atlet Sabah, pulanglah dengan penuh rasa bangga. Anda semua telah membuktikan bahawa anak muda Sabah mampu bersaing dan berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Sabah semalam secara rasmi menamatkan saingan SUKMA XXII dengan keseluruhan 93 pingat, terdiri daripada 30 emas, 27 perak dan 36 gangsa.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada kesemua 744 atlet Sabah yang berjuang sepanjang temasya itu, selain 148 jurulatih, 51 pengurus pasukan dan seluruh petugas sokongan kontinjen.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan syabas saya ucapkan kepada semua 744 atlet wira dan wirawati Sabah, 148 jurulatih, 51 pengurus pasukan, serta seluruh petugas sokongan yang telah berjuang habis-habisan demi memartabatkan sukan negeri kita,” katanya.
Terdahulu, Nizam bersama rombongan Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah menghadiri Majlis Perasmian Penutupan SUKMA XXII Selangor 2026 yang disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Selangor selaku tuan rumah atas penganjuran temasya berkenaan.
Menurut Nizam, berakhirnya SUKMA Selangor bukan noktah kepada usaha pembangunan sukan Sabah, sebaliknya kontinjen negeri akan terus menilai dan menambah baik kelemahan bagi mencapai prestasi lebih cemerlang pada masa akan datang.






