Kerjasama Malaysia, Filipina, Indonesia, Dan Thailand Penting Demi Keselamatan Negara – Hishammuddin

Kerjasama Malaysia, Filipina, Indonesia, Dan Thailand Penting Demi Keselamatan Negara – Hishammuddin

0
SHARE

Kenyataan Media
YB. Dato’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN,
Menteri Pertahanan Malaysia,
Merangkap Menteri Tugas-Tugas Khas.

INSIDEN SERANGAN DI BANGKOK, JAKARTA DAN MINDANAO.

KUALA LUMPUR (27 MEI 2017).

Saya memantau secara dekat insiden serangan dan letupan bom di negara jiran yang berlaku dalam tempoh seminggu ini khususnya di Bangkok, Jakarta dan Mindanao.

Insiden ini melibatkan letupan bom di sebuah hospital di Bangkok, yang mencederakan 24 orang. Kemudian disusuli letupan bom di Kampung Melayu, Jakarta Timur, yang meragut 3 nyawa anggota polis Indonesia. Seterusnya insiden pertempuran antara kumpulan militan dengan pihak tentera Filipina di Bandar Marawi, Mindanao, yang mengakibatkan 21 orang terbunuh.

Saya telah berhubung dengan Menteri Pertahanan dari ketiga-tiga negara terbabit, Delfin Negrillo Lorenzana-Filipina, Prawit Wangsuwon-Thailand, Ryamizard Ryacudu-Indonesia, bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung insiden-insiden tersebut. Saya ingin memaklumkan bahawa Malaysia melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus bekerjasama rapat dengan angkatan tentera dari ketiga-tiga negara tersebut bagi memperkukuh kawalan keselamatan di negara masing-masing termasuk berkongsi maklumat risikan.

Serentak itu, saya telah mengarahkan ATM meningkatkan kawalan sempadan di seluruh negara. Ini kerana, kesemua insiden tersebut berlaku di 3 buah negara yang berjiran dengan Malaysia.

Bagi meningkatkan kawalan serta memperkukuh keselamatan Sabah, ATM akan melaksanakan penambahan aturgerak aset. Inisiatif ini melibatkan penambahan rondaan 2 buah kapal yang akan diaturgerak hari ini bagi membantu memperketatkan kawalan di perairan Sabah, menempatkan anggota Quick Reaction Force (QRF) bersama trup yang beroperasi di pulau-pulau sekitar perairan Sabah, serta meningkatkan rondaan bot-bot tempur di kawasan yang dikenalpasti sebagai laluan masuk dari Selatan Filipina.

Selain itu, ATM juga akan melaksanakan penambahan 1 kompeni infantri Tentera Darat di kawasan Cenderawasih, Lahad Datu. Penambahan trup tersebut dilaksanakan bertujuan memastikan kawasan pantai di Lahad Datu terkawal sepenuhnya.

Inisiatif-inisiatif ini adalah pendekatan terkini yang dilaksanakan oleh ATM sebagai melengkapi inisiatif sebelum ini bagi memperkukuh keselamatan Sabah (inisiatif yang telah dilaksanakan dilampirkan- Lampiran A).

Pelaksanaan inisiatif dan pendekatan ini termasuk mengaturgerak aset tambahan diperkirakan berupaya menangani serta memberi tindak balas dengan pantas terhadap sebarang ancaman yang wujud.

Saya sudah berbincang berhubung perkara ini secara dekat dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM), YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi. Susulan itu, YAB TPM telah mengarahkan agar ATM berkerjasama rapat dengan agensi-agensi keselamatan di negara ini untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan Sabah dan negara ini terus terpelihara.

Sesungguhnya, saya telah menyatakan beberapa kali sebelum ini bahawa landskap keselamatan dunia semakin mencabar dan begitu pantas berubah. Beberapa insiden serangan dan letupan bom yang berlaku di seluruh dunia baru-baru ini (bukan hanya di rantau ini) seperti di Mesir, Manchester, Paris, Stockholm, Iraq dan Afghanistan membuktikan ancaman pengganas adalah nyata.

Justeru, ATM dan pihak keselamatan di negara ni, sentiasa memikirkan cara dan kaedah terbaik dari semasa ke semasa bagi menangani ancaman ini. Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak atau kumpulan yang cuba mengganggu-gugat keselamatan dan kedaulatan negara ini. Kita bersama-sama rakan sepakat kita di seluruh dunia akan terus berkerjasama rapat menangani ancaman ini seperti mana yang dapat dilihat semasa lawatan kerja di Arab Saudi baru-baru ini.

InsyaaAllah.