Polis Sabah Perketat Kawalan Sempadan di Tawau, Kekang Jenayah Rentas

Polis Sabah Perketat Kawalan Sempadan di Tawau, Kekang Jenayah Rentas

0
SHARE
Foto: Ihsan PDRM Tawau

TAWAU: Polis Sabah memperketat dan memperhebatkan lagi kawalan sempadan negara Malaysia – Indonesia di daerah ini bagi mengekang jenayah rentas dalam negara.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi dan pemantauan oleh pihak berkuasa akan dipertingkat dan diperketatkan, terutama di lorong-lorong tikus untuk masuk ke negara ini. 

Katanya, penguasaan ini melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mengawal ketat sempadan secara bersepadu daripada dibolosi warga asing sekali gus mengekang jenayah rentas sempadan.

Jauteh turut memberi amaran tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara ini secara haram.

“Polis Sabah tidak akan berkompromi terhadap isu kawalan di sempadan dan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi lain bagi mengekang laluan masuk secara haram sama ada kemasukkan pendatang asing tanpa izin mahupun penyeludupan barang kawalan.

“Kawalan keselamatan di sempadan negara meliputi laluan darat dan laut akan diperketatkan lagi,” katanya ketika melakukan lawatan dan tinjauan persempadanan negara Malaysia – Indonesia di Sungai Haji Kuning dan perairan Burs Point, Tawau semalam.
Tambah beliau, Pos kawalan sempadan yang baru juga akan dibina di kawasan Sungai Haji Kuning bagi memastikan kawalan persempadanan negara tidak dicerobohi.
Turut bersama dalam lawatan tersebut ialah, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman bagi meninjau kawasan sempadan serta melihat sendiri keperluan infrastruktur di kawasan tersebut.