JKDM Sabah Sekat Sindiket Import Barang Larangan Bernilai Lebih RM1.6 Juta

JKDM Sabah Sekat Sindiket Import Barang Larangan Bernilai Lebih RM1.6 Juta

0
SHARE
Kain sarung yang dirampas JKDM Sabah pada 5 Januari lalu. Foto: JKDM Sabah

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menyekat sindiket pengimportan barang-barang yang tertakluk di bawah Perintah KASTAM (Larangan Mengenai Import) 2023 dengan merampas 439 guni mengandungi kain sarung yang bernilai lebih RM1.6 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan itu dibuat dalam satu serbuan di salah sebuah gudang di Jalan Kolombong di sini, pada 5 Januari lalu. 

Katanya, hasil risikan dan penyaluran maklumat Pasukan Tempur Operasi Medan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (COBRA), pasukan serbuan dianggotai oleh anggota JKDM dari Cawangan Operasi Kota Kinabalu bersama pasukan COBRA telah membuat serbuan dan pemeriksaan di gudang berkenaan pada jam 5 petang.

“Hasil pemeriksaan pasukan serbuan telah menemui 439 guni yang mengandungi kain sarung yang disyaki tertakluk dengan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Pemeriksaan lanjut menunjukkan sebanyak 175,600 helai kain sarung pelbagai corak dengan anggaran berat 39,510 kilogram.

“Barang kes dianggarkan bernilai RM1,635,318.00 dengan melibatkan cukai jualan sebanyak RM163531.89,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, semasa serbuan, seorang wanita yang disyaki warga China berusia linkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati, kesemua 439 guni kain diimport masuk daripada China yang diikrarkan dengan Garments Fabrics.

“Kesemua barang dagangan ini telah ditahan dan disita. Kes ini masih dalam siasatan lanjut dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Jabatan bagi tindakan selanjutnya selepas siasatan selesai,” katanya.

Manakala, Modus Operandi (MO) bagi kes ini, Nasir berkata adalah, menggunakan kod tarif yang lain dan deskripsi barang tidak betul dalam Borang Kastam. 

Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barangan itu dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barangan itu, atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.