RM200,000 Peruntukan Bina Tamu Desa di Kg Tinata, Galak Pertumbuhan Ekonomi Tempatan

RM200,000 Peruntukan Bina Tamu Desa di Kg Tinata, Galak Pertumbuhan Ekonomi Tempatan

0
SHARE

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi pembinaan premis baharu Tamu Desa di Kampung Tinata, sebagai usaha memperkasakan ekonomi tempatan khususnya usahawan tani dan kraftangan di kawasan itu.

Menurut Ewon, projek pembinaan tersebut akan dilaksanakan dalam tahun ini di bawah inisiatif Projek Pembangunan Premis Tamu Desa oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

“Saya menerima permintaan daripada komuniti usahawan dan JKKK kampung ini supaya disediakan tempat jualan yang tetap dan selesa. Dengan penaiktarafan jalan Podos yang menjadi laluan utama ke kampung ini, pembinaan Tamu Desa dijangka akan menarik lebih ramai pengunjung dari luar apabila jalan siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri sambutan Pesta Kaamatan Kampung Tinata, kelmarin.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian yakin kemudahan tersebut bukan sahaja memberi impak kepada pendapatan usahawan tempatan, malah mampu merangsang sektor pelancongan komuniti di kawasan itu.

“Tamu Desa ini bukan sekadar ruang jual beli, ia simbol penggerak ekonomi setempat yang mengangkat hasil tani, kraftangan dan keunikan tempatan kepada pasaran lebih luas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pembinaan premis seperti Tamu Desa turut dimasukkan dalam cadangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026–2030.

“KUSKOP akan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan usahawan dan koperasi di Sabah dan Sarawak dalam RMK-13. Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Kementerian Ekonomi kerana memberi perhatian kepada cadangan ini,” ujarnya.

Inisiatif ini dilihat selari dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan ekonomi luar bandar secara mampan dan inklusif, dengan memberi sokongan kepada pemain industri mikro dan komuniti desa.