Mazlan Tegur Kenyataan Yeo Bee Yin Berkait Kes Najib, Ingatkan Nilai Kemanusiaan...

Mazlan Tegur Kenyataan Yeo Bee Yin Berkait Kes Najib, Ingatkan Nilai Kemanusiaan Tidak Wajar Diketepikan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Mazlan Joehari Manan mengulas kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin di Facebook baru-baru ini yang disifatkannya seolah-olah meraikan keputusan mahkamah, sekali gus tidak mencerminkan nilai kemanusiaan yang sepatutnya dijunjung dalam politik.

Mazlan yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan berkata, walaupun wujud perbezaan pandangan politik, ia tidak seharusnya menghilangkan rasa empati dan kemanusiaan, khususnya apabila melibatkan isu yang menyentuh perasaan sebuah keluarga.

Menurutnya, Datuk Seri Najib Razak (DSNR) telah dijatuhkan hukuman dan sedang menjalani hukuman tersebut, manakala soal keabsahan Titah Adendum serta tafsiran undang-undang wajar diserahkan sepenuhnya kepada pihak berautoriti untuk diputuskan melalui saluran perundangan.

“Rayuan adalah hak DSNR dan keluarganya, manakala kerajaan pula mempunyai hak untuk mempertahankan keputusan. Biarlah mahkamah dan undang-undang menentukan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Mazlan berkata, komen yang dibuat Yeo Bee Yin tidak sepatutnya berlaku atas nama nilai kemanusiaan kerana isu berkenaan bukan hanya melibatkan DSNR, tetapi turut memberi kesan emosi kepada isteri, anak-anak dan ahli keluarga mantan Perdana Menteri itu.

“Letakkan diri kita di tempat keluarga beliau. Pasti kita dapat memahami perasaan seorang anak dan isteri apabila bapa serta suami dipenjarakan. Jangan terlalu sombong dan bongkak sehingga menutup hati dengan alasan perbezaan politik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa nilai keluarga dan kemanusiaan perlu dipisahkan daripada persaingan serta perbezaan politik agar masyarakat tidak terjebak dengan sikap saling menghukum tanpa empati.

Mazlan turut menekankan bahawa undang-undang perlu ditegakkan dan dilaksanakan secara adil, namun pada masa sama nilai kemanusiaan tidak wajar dipinggirkan dalam kehidupan bernegara.

“Politik dan kemanusiaan adalah dua perkara berbeza. Jangan kita abaikan nilai kemanusiaan kerana akhirnya kita semua sama di sisi Maha Pencipta,” katanya.