SANDAKAN: Dua remaja perempuan masing-masing berusia 15 dan 17 tahun ditemukan lemas ketika menjalankan aktiviti mandi-manda di sebuah kolam kuari di Kampung Gum-Gum, Jalan Kuari 5, di sini, petang Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.31 petang itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia selepas berjaya ditemukan oleh orang awam dan pasukan penyelamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 5.31 petang sebelum menggerakkan sepasukan tujuh anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 27 kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 5.59 petang, didapati seorang mangsa telah ditemukan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.
“Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan seorang lagi mangsa berjaya ditemukan hasil kerjasama anggota bomba bersama orang awam di kawasan kolam kuari berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang melibatkan tujuh anggota BBP Sandakan dengan sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) itu tamat sepenuhnya pada jam 7.01 malam.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.






