KOTA KINABALU: Seramai 30 belia menyertai bengkel “Youth in Communication: The Art of Speaking with Confidence” anjuran Rakan Muda di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dengan kerjasama Kota Kinabalu Toastmasters Club pada Sabtu.
Program itu bertujuan memperkasa golongan muda dengan kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan kebolehan kepimpinan bagi persediaan menghadapi alam kerjaya.
Penceramah utama, Dr Jane Ong berkongsi panduan berkaitan penyampaian berkesan, teknik pengucapan awam serta cara mengendalikan temu duga bertekanan tinggi berdasarkan pengalamannya sebagai seorang penceramah profesional.
Peserta turut menyertai sesi praktikal termasuk latihan ucapan spontan dengan bimbingan mentor Toastmasters bagi meningkatkan keupayaan menyusun idea dan memberi respons dengan yakin.
Majlis penutupan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Grace Lee Li Mei yang menegaskan kemahiran komunikasi kini menjadi keperluan penting kepada generasi muda dalam membina kepimpinan serta menghadapi dunia yang semakin kompetitif.






