KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan Peguam kepada Tan Sri Musa Aman dijangka akan membuat permohonan kepada Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara agar perbicaraan lebih awal dapat dilakukan bagi mendengar kes kesahan Ketua Menteri Sabah.
Sebelum ini Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada Tan Sri Musa Aman untuk mencabar kesahan Ketua Menteri Sabah apabila dua (2) daripada tiga (3) hakim bersetuju untuk membenarkan Musa meneruskan rayuan mencabar pelantikan Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri yang sah.
Dalam keputusan majoriti 2-1 itu, Mahkamah Persekutuan yang bersidang pada 26 ogos lalu memberi izin kepada Musa Aman bagi meneruskan rayuannya terhadap saman untuk mencabar pelantikan Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.
Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zabariah Mohd Yusof, yang turut bersidang, membuat keputusan memihak kepada Musa manakala Mohd Zawawi menentang.
Abdul Rahman membenarkan permohonan itu dengan sepuluh (10) isu perundangan untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam rayuan tersebut.
Dalam penghakiman 34 halaman, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, berkata :
“Merit rayuan bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman perlu didengar demi kepentingan awam dan bukannya ditolak sebagai bersifat akademik.”
“Sudah diketahui umum bahawa ini bukan kali pertama rakyat Sabah menghadapi kemelut politik dan krisis perlembagaan seperti ini, dan ini bukan yang terakhir jika tidak diselesaikan oleh mahkamah ini.”
“Amat penting bagi Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada kedudukan undang-undang sebagaimana yang ditafsirkan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes ini, merupakan kedudukan undang-undang yang betul.”
“Ini untuk mengelak berlakunya krisis perlembagaan, yang berpotensi untuk berulang setelah keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.”
“Rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui sama ada penyingkiran Tan Sri Musa sebagai Ketua Menteri yang dilantik secara sah dilakukan secara sah, mengikut undang-undang dan menurut Perlembagaan Sabah.”
“Yang Dipertua Negeri Sabah telah menyingkirkan Musa dalam masa kira-kira 48 jam, dan Musa tidak diberi kesempatan untuk memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).”
“Kes Musa berbeza dengan kes di Perak yang Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah memohon untuk membubarkan DUN mengikut Perlembagaan Perak, tetapi kemudiannya ditolak oleh Sultan Perak.”
“Tidak seperti Sultan Perak, yang merupakan Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri Sabah diwujudkan mengikut Perlembagaan Sabah.”
“Mahkamah Rayuan, yang berpendapat rayuan Musa bersifat akademik, menggunakan jalan penyelesaian mudah tanpa menjawab persoalan asas perlembagaan di hadapannya.”
Dalam pada itu, Mahkamah Rayuan pada 08 Ogos telah menolak rayuan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Tan Sri Musa Aman dalam satu kenyataan selepas keputusan itu berkata mereka menghormati keputusan yang dibuat oleh mahkamah, namum perkara ini sekarang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan untuk mendengar perbicaraan kes ini secepat mungkin kerana sebarang penangguhan perbicaraan hanya menafikan proses menuntut keadilan.

“Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan memperakui pelantikan saya (Musa) sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei 2018 adalah SAH dan mengikut Perlembagaan Sabah. Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 26.8.2020 menerusi penghakiman bertulis yang bertarikh pada 01.09.2020 memutuskan bahawa wujud persoalan berkaitan asas kepentingan perlembagaan yang perlu didengari di peringkat Mahkamah Persekutuan, antaranya ialah membabitkan tatacara TYT menyingkirkan saya sebagai Ketua Menteri, dan sama ada pelantikan Shafie sebagai pengganti saya adalah ‘ULTRA VIRES’ (di luar kuasa), terbatal dan tidak terpakai. Pekara ini kini bakal diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan yang mana Peguam saya telah meminta supaya sesi pendengaran diawalkan.
“Hari ini Mahkamah Rayuan telah mengetepikan rayuan kami. Semestinya kesemua 33 ADUN, termasuk saya sangat kecewa, namun kami menghormati keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Perkara ini sekarang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan untuk mendengar perbicaraan kes ini secepat mungkin kerana sebarang penangguhan perbicaraan hanya menafikan proses menuntut keadilan.”
“Sehubungan itu, saya memohon Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara memberikan saya tarikh perbicaraan lebih awal berbanding apa yang telah ditetapkan.”
“Saya sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa penyingkiran saya adalah tidak berpelembagaan (tidak mengikut perlembagaan). Justeru, sesiapa yang mengangkat sumpah selepas penyingkiran saya, adalah tidak lebih daripada sekadar PERAMPAS yang tidak sepatutnya diberi kebenaran untuk menjalankan tugas secara sahih mengikut perundangan sebagai Ketua Menteri Sabah. Tindakan membenarkan individu sedemikian menjalankan tugas berasaskan perlembagaan sebagai Ketua Menteri bakal mengundang kesan berpanjangan, seperti yang kita saksikan pada masa kini.”
“Oleh sebab itu apabila Shafie memohon pembubaran DUN Sabah, saya memfailkan permohonan untuk mencabar kaedah pembubaran berkenaan. Bagaimana seseorang yang kedudukannya masih dipersoalkan boleh mengemukakan permohonan kepada TYT untuk membubarkan DUN Sabah? Bagaimana TYT bertindak atas permohonan dikemukakan oleh seseorang yang pelantikannya dipertikaikan sejak dari awal? Masyarakat harus ingat bahawa pemimpin pada setiap masa perlu melangkaui kepentingan politik.”
“Bidang kuasa mereka, termasuk TYT Sabah, tidak sepatutnya digunakan untuk ‘MEMAYUNGI’ sesetengah agenda politik seseorang yang pelantikannya dipersoalkan.”
“Masyarakat perlu diingatkan bahawa kes ini mempunyai kaitan dengan perkara sebelum ini yang kini di peringkat perbicaraan Mahkamah Persekutuan. Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran susulan 10 persoalan berkaitan penyingkiran saya yang tidak berpelembagaan selaku Ketua Menteri Sabah yang sah. Isu ini adalah amat penting kepada rakyat Sabah dan mesti diselesaikan dengan segera sebelum sebarang cadangan pilihan raya, kerana ia mempunyai kesan langsung terhadap kesahihan pilihan raya tersebut.”
“Sehubungan itu, saya memohon supaya rayuan saya berkaitan kes kesahihan saya sebagai Ketua Menteri Sabah didengar dengan segera. Ini kerana ia akan mempunyai kesan langsung kepada kes sedia ada jika Mahkamah Persekutuan mendengar kes kesahihan ketua menteri selepas hari penamaan calon (12 September 2020), ia ibarat ‘nasi sudah menjadi bubur’.”
“Kebenaran harus dibuktikan dan keadilan wajar ditegakkan.”
“Penangguhan keadilan adalah keadilan yang dinafikan,” Musa berkata lagi dalam satu kenyataan kepada media.
Pemerhati politik bebas pula berkata tindakan yang dilakukan oleh Shafie dan TYT Sabah perlu dihentikan melalui penghakiman di Mahkamah Persekutuan.
Sabah ketika ini juga telah mencatatkan rekod peningkatan COVID-19 yang amat tinggi.


Ketika ini jelas kelihatan perhimpunan besar-besaran telah diadakan oleh kesemua parti-parti di Sabah dalam masa yang sama SOP tambahan kecemasan masih belum jelas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menangani program kempen oleh kesemua jentera-jentera parti yang bertanding selain SOP yang sedia ada.
Sebahagiannya pula berkata isu kesahan Ketua Menteri di Sabah perlu diselesaikan segera sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ke-16 diadakan bulan ini.
Secara jelas apa yang telah dilakukan oleh Shafie dan TYT Sabah sebelum ini dilihat cuba membelakangkan undang-undang dan rakyat melihat secara jelas keadilan tidak digunakan untuk menangani isu ini.
“TYT tidak sepatutnya berpihak kepada Shafie Apdal. Adakah ianya sesuatu yang ADIL apabila Musa telah kehilangan majoriti selepas Adun BN ‘MELOMPAT PARTI’ TYT telah bertindak memecat Tan Sri Musa sebaliknya apabila Shafie pula telah kehilangan majoriti Shafie tidak dipecat.”
“Adakah ini dipanggil keadilan apabila Musa kehilangan majoriti pada 2018 TYT tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri sebaliknya apabila Shafie kehilangan majoriti DUN pula telah dibubarkan.”

“Persoalan penting yang perlu diselesaikan adalah adakah surat permohonan pembubaran oleh Shafie sah sedangkan isu kesahan Ketua Menteri masih tergantung memandangkan Mahkamah Rayuan telah membenarkan kes ini dibawah ke peringkat seterusnya”.
Justeru, sepatutnya kes ini perlu didengar sebelum hari penamaan calon pada 12 Sept ini untuk mengelak kejadian sama berulang pada masa akan datang.





