Tabung Haji Salurkan Sumbangan Zakat Kepada Pelajar Berstatus Asnaf Di Sabah

Tabung Haji Salurkan Sumbangan Zakat Kepada Pelajar Berstatus Asnaf Di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Lembaga Tabung Haji (TH) semalam telah menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM36,300 kepada 121 pelajar berstatus asnaf Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) (SMP) Likas, Kota Kinabalu.

Memetik laporan Bernama, TH menerusi kenyataan semalam memberitahu penyerahan itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang turut menyampaikan sumbangan TH berjumlah RM10,000 kepada wakil Persatuan Ibu dan Bapa (PIBG) SMP Likas bagi menambah baik surau sekolah.

“Penyerahan sumbangan zakat ini bertujuan membolehkan pelajar asnaf membuat persediaan bagi meneruskan sesi persekolahan sepanjang tahun 2020. Impak wabak COVID-19 telah mengakibatkan ramai pelajar khususnya daripada kalangan kurang berkemampuan tidak dapat meneruskan pembelajaran atas kekangan sumber pendapatan keluarga.

“Sumbangan ini juga diharap dapat memberi suntikan semangat dan pendorong kepada para pelajar agar lebih berdaya maju dan cemerlang dalam pelajaran, seterusnya meningkatkan taraf sosio ekonomi masing-masing,” kata Zulkifli menerusi kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut TH komited dalam menjalankan program-program zakat bagi membantu golongan sasar khususnya golongan asnaf, dalam pembangunan ummah yang lestari serta mengukuhkan imejnya sebagai institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus yang baik.