SMJ Bawa Pulangan Minyak Dan Gas, Bukan Janji Kosong Seperti Warisan

SMJ Bawa Pulangan Minyak Dan Gas, Bukan Janji Kosong Seperti Warisan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menyelar kenyataan Datuk Azis Jamman berhubung penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas, yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan berisiko terhadap kewangan negeri.

Exco Pemuda PGRS, Gordon Horace Chin berkata Azis jelas tidak memahami struktur industri minyak dan gas, khususnya kontrak perkongsian pengeluaran (PSC), risiko pelaburan huluan, dan tanggungjawab mengurus dana awam.

“Kenyataan beliau bukan sahaja mengelirukan, malah berbahaya. Jika diikuti, ia akan membahayakan kewangan Sabah dan menggagalkan kemajuan yang telah dicapai,” tegas Gordon.

Beliau menegaskan bahawa SMJ Energy, syarikat milik penuh kerajaan negeri di bawah pentadbiran GRS, telah mengambil pendekatan bijak dengan melabur dalam aset yang sudah menjana hasil, serta hanya menyertai eksplorasi selepas penemuan dibuat.

“Azis memperlekehkan SMJ Energy, sedangkan hakikatnya Sabah kini memiliki 50 peratus dalam PSC Samarang, 10 peratus dalam LNG9, dan 25 peratus dalam SAMUR.

“SMJ bukan sekadar konsep, ia entiti RM5 bilion yang sudah menjana dividen RM160 juta kepada kerajaan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Gordon turut mempertahankan tindakan pengambilalihan Sabah International Petroleum (SIP) melalui sukuk RM900 juta yang menurutnya menyelamatkan Sabah Development Bank (SDB) daripada krisis kewangan.

“SIP diwarisi dengan hutang RM1.7 bilion yang berpunca semasa Presiden Warisan sendiri menjadi pengerusi. Tanpa campur tangan GRS, SDB mungkin gagal membayar obligasi bonnya,” jelasnya.

Katanya lagi, sukuk tersebut bukanlah bailout (bantuan kewangan) sebaliknya pelan penstrukturan semula yang diiktiraf pasaran.

“Ia terlebih langgan sebanyak 3.9 kali, diberi penarafan AAA dan dinamakan sebagai ‘Best Non-IPO Fundraising Deal of 2023’. Itu keyakinan pasaran, bukan kontroversi,” katanya.

Gordon turut menempelak dakwaan kononnya Shafie Apdal menyelesaikan bayaran bon RM1 bilion pada 2019.

“Hakikatnya, bon itu diterbitkan pada 2014 dan diselesaikan melalui ‘sinking fund’ yang diwujudkan sejak awal. Pembayaran itu dibuat hasil tabungan bertahun-tahun, bukan hasil campur tangan politik,” tambahnya.

Menurutnya, tindakan Warisan yang terus menyebarkan separuh kebenaran menunjukkan mereka gelisah dengan kejayaan kerajaan semasa.

“Cukup-cukuplah dengan bunyi kosong. Sudah tiba masa Sabah bergerak ke depan dengan yakin, bertanggungjawab dan berpandukan pelan yang jelas,” tegasnya.