KPDN Lancar OPS KESAN 6.0 Mulai 1 Jun, Bendung Aktiviti Pencatutan Susulan...

KPDN Lancar OPS KESAN 6.0 Mulai 1 Jun, Bendung Aktiviti Pencatutan Susulan Krisis Bekalan Global

0
SHARE

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan OPS KESAN 6.0 di seluruh negara bermula 1 Jun hingga 31 Ogos depan bagi membendung aktiviti pencatutan susulan krisis bekalan global yang menyebabkan peningkatan harga minyak mentah dunia.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) itu bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan kos bahan mentah, operasi dan logistik untuk meraih keuntungan yang tidak munasabah.

Menurutnya, pelaksanaan operasi tersebut merupakan langkah proaktif kerajaan bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang dijangka berlaku secara berperingkat dalam rantaian bekalan akibat ketidaktentuan ekonomi global.

“Langkah ini diambil bagi memantau dan memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan kos bahan mentah, operasi mahupun perniagaan demi memperoleh keuntungan tinggi yang tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, OPS KESAN 6.0 akan memberi tumpuan kepada keseluruhan rantaian bekalan bermula daripada pengilang, penternak, peladang, pengedar dan pemborong sehingga ke peringkat peruncit.

Antara sektor utama yang menjadi fokus pemeriksaan ialah sektor petrokimia melibatkan pembungkusan plastik dan baja pertanian, sektor pertanian seperti sayur-sayuran dan cili merah, sektor penternakan termasuk makanan ayam, ayam standard serta telur ayam, selain sektor pengangkutan yang melibatkan caj penghantaran logistik.

Katanya, pegawai penguat kuasa KPDN akan mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta 723 bagi mendapatkan maklumat berkaitan harga jualan, kos operasi serta dokumen perniagaan daripada premis yang diperiksa.

“Notis ini merupakan instrumen penting bagi membolehkan analisis terperinci dijalankan terhadap sebarang aktiviti pencatutan. Kegagalan mematuhi arahan atau mengemukakan maklumat palsu adalah satu kesalahan di bawah undang-undang,” katanya.

Azman berkata, sekiranya siasatan mendapati berlaku peningkatan keuntungan yang tidak munasabah berbanding tahun sebelumnya dan unsur pencatutan dapat dibuktikan, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 14(1) Akta 723.

Bagi syarikat, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 manakala kesalahan kedua dan seterusnya sehingga RM1 juta.

Bagi peniaga individu pula, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh membawa hukuman denda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau menegaskan KPDN akan terus komited dalam mengesan dan mengekang sebarang aktiviti pencatutan bagi memastikan kestabilan kos sara hidup rakyat sentiasa terpelihara.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan menjadi mata dan telinga kementerian dengan menyalurkan maklumat berhubung kenaikan harga yang mencurigakan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian bebas tol 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.