KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menggesa kerajaan mempercepatkan usaha menaik taraf Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan serta menambah kapasiti katil bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat di daerah itu.
Beliau membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat dengan meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan status terkini projek naik taraf HDOK di bawah Rolling Plan 5 (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), termasuk langkah menangani kekurangan kapasiti katil dan cadangan pembinaan hospital baharu atau peluasan hospital.
Susulan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, projek naik taraf HDOK melibatkan blok wad lama, wad bersalin, sistem elektrik dan perpaipan, pengubahsuaian wad kepada konsep kubikal serta pembinaan bangunan farmasi baharu.
Menurutnya, kerja awalan projek telah diluluskan di bawah Rolling Plan 4 (RP4) RMKe-12 pada 2023, manakala Anggaran Kos Awalan (AKA) dan Medical Brief of Requirements (MBOR) sedang disediakan, dengan pelaksanaan projek secara menyeluruh disasarkan pada 2028.
Beliau berkata, KKM turut akan mengoptimumkan penggunaan ruang sedia ada serta menambah kapasiti katil secara berperingkat mengikut keperluan dan beban pesakit.
Jelasnya lagi, pihaknya akan terus menilai cadangan pembinaan hospital baharu atau peluasan berskala besar di Sandakan selaras dengan pertumbuhan penduduk dan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan.






