Bantah ADUN Lantikan, DAP Melaka Umum Keluar Kerajaan Negeri

Bantah ADUN Lantikan, DAP Melaka Umum Keluar Kerajaan Negeri

0
SHARE

KOTA KINABALU: DAP Melaka mengumumkan penarikan diri serta-merta daripada kerajaan negeri selepas Dewan Undangan Negeri meluluskan pindaan Perlembagaan negeri yang membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.

Pengerusinya, Khoo Poay Tiong, berkata keputusan itu dibuat selaras dengan pendirian parti yang menolak pindaan berkenaan kerana dianggap bercanggah dengan prinsip demokrasi dan pilihan raya.

Beliau memaklumkan semua wakil rakyat DAP yang memegang jawatan dalam pentadbiran negeri akan melepaskan jawatan masing-masing, termasuk seorang Exco, dua timbalan Exco dan Timbalan Speaker DUN.

Sebagai parti yang menolak usul ini, kami tidak wajar kekal dalam kerajaan dan terus menikmati kemudahan kerajaan,” katanya di Facebook.

Menurutnya, pelantikan ADUN tanpa pilihan raya tidak wajar kerana individu lantikan mempunyai hak mengundi dalam DUN.

Ahli Parlimen Kota Melaka itu berkata jika kepakaran diperlukan, individu tersebut boleh dilantik sebagai penasihat tanpa diberi status ADUN.

Khoo menegaskan, keempat-empat ADUN DAP kekal sebagai wakil rakyat tetapi akan beralih ke blok pembangkang pada persidangan DUN akan datang.

Tambah beliau, semua lantikan politik DAP dalam kerajaan negeri termasuk ahli majlis akan turut meletakkan jawatan dalam masa terdekat, dengan surat peletakan jawatan telah disediakan untuk diserahkan hari ini.