KOTA KINABALU: Sistem pengangkutan awam Sabah perlu direformasi secara menyeluruh kerana kesesakan lalu lintas bukan sahaja menjejaskan ekonomi tetapi juga kesejahteraan rakyat, kata Ketua Penyelidikan Keusahawanan UMS, Dr Izaan Jamil.
Beliau berkata ramai pekerja berpendapatan rendah terpaksa tinggal di kawasan pinggir bandar seperti Tuaran, Kinarut dan Kota Belud, lalu berhadapan kesesakan teruk sehingga perlu keluar seawal 4 pagi dan pulang lewat malam.
“Keadaan ini memaksa keluarga berbelanja lebih RM700 hingga RM1,200 sebulan untuk makan di luar kerana tiada masa memasak di rumah.
“Kesesakan bukan sekadar menyusahkan, ia menambah kos sara hidup, menjejaskan kesihatan, masa bersama keluarga dan prestasi pelajar sekolah,” katanya.
Dr Izaan mencadangkan Sabah mencontohi Jakarta dengan memperkenalkan laluan bas khas, menaikkan caj parkir di kawasan padat, menghapuskan parkir tepi jalan haram, serta melabur dalam sistem rel moden bagi menghubungkan kawasan paling sesak seperti Papar ke Kota Kinabalu.
Katanya, pembaharuan ini bukan sekadar mengurangkan kesesakan, tetapi mampu menjimatkan kos isi rumah, meningkatkan kesihatan, menarik pelabur serta menjadikan Sabah lebih berdaya saing dan lestari.






