Tahap Bahaya Omicron Dan Varian Asal Tiada Beza

Tahap Bahaya Omicron Dan Varian Asal Tiada Beza

0
SHARE

GENEVA – Varian BA.2 bagi rantaian koronavirus Omicron tidak lebih teruk daripada virus COVID-19 yang asal, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin.

Memetik laporan berita AFP, Pegawai Kanan WHO, Maria Van Kerkhove dalam satu sesi soal jawab berkata: “Berdasarkan sampel dari pelbagai negara, kami tidak melihat perbezaan dalam tahap keterukan BA.1 berbanding BA.2.”

“Jadi, ini adalah tahap keterukan yang sama kerana ia berkaitan dengan risiko kemasukan ke hospital.

Penemuan ni sangat penting, kerana di banyak negara,  kedua-dua BA.1 dan BA.2 menular secara meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa  melaporkan penemuan oleh jawatankuasa pakar-pakar yang menjejaki evolusi virus itu.

Kesimpulan tersebut akan melegakan negara-negara seperti Denmark, di mana varian BA.2 Omicron merebak dengan meluas.

WHO berkata dalam satu kenyataan bahawa data awal menunjukkan varian BA.2 ‘nampak secara semula jadi lebih mudah menular berbanding BA.1’, manakala kajian lanjut sedang dilakukan untuk mengetahui mengapa perkara itu berlaku.

“Bagaimanapun, penularan  global semua varian COVID-19 dilaporkan telah merosot,” tambahnya…

COVID-19 membunuh lebih daripada 5.8 juta orang di seluruh dunia, demikian menurut angka AFP berdasarkan sumber-sumber rasmi kelmarin.

Bagaimanapun, WHO menganggarkan jumlah kematian sebenar COVID-19 mungkin dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi daripada angka rasmi.