SHANGHAI: Kesalinghubungan udara antara Sabah dan China dijangka terus berkembang apabila China Eastern Airlines merancang meningkatkan perkhidmatan penerbangan Shanghai–Kota Kinabalu kepada dua atau tiga penerbangan sehari, selain meneliti pembukaan laluan terus Beijing–Kota Kinabalu.
Perancangan itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, ke pejabat China Eastern Airlines di Shanghai pada Selasa.
Dalam kunjungan berkenaan, beliau mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Jualan China Eastern Airlines, Yang Chun Fei.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai, bersama wakil Lembaga Pelancongan Sabah.
Jafry menyambut baik perancangan berkenaan dan berkata, hubungan udara terus yang lebih kukuh amat penting ketika Sabah membuat persediaan menghadapi Tahun Melawat Sabah 2027.
“Shanghai sudah menjadi pintu masuk penting ke Sabah. Peningkatan kekerapan kepada dua atau tiga penerbangan sehari akan menyediakan kapasiti dan fleksibiliti lebih besar kepada para pelancong.
“Laluan terus Beijing–Kota Kinabalu pula akan membuka satu lagi pintu masuk utama dan seterusnya memperkukuh kesalinghubungan Sabah dengan China.
“Fokus kita jelas, iaitu menambah hubungan penerbangan terus, meningkatkan kekerapan dan memudahkan akses ke Sabah,” katanya.
China kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan sektor pelancongan Sabah dengan merekodkan 578,681 ketibaan dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, meningkat 21.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
China Eastern juga mengendalikan sehingga tiga penerbangan sehari bagi laluan Shanghai–Kota Kinabalu ketika tempoh puncak perjalanan musim panas 2026.
“Kesalinghubungan yang lebih baik mewujudkan peluang dalam keseluruhan industri pelancongan kita, daripada hotel dan pengendali pelancongan hinggalah restoran, lokasi tarikan serta perniagaan tempatan.
“Kita akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan bagi memperkukuh laluan sedia ada, meningkatkan kapasiti dan membuka pintu masuk baharu ke Sabah,” kata Jafry.






