RM1.5 Bilion Bukan Penamat dan Hak 40 Peratus Masih Dirunding – Azrul

RM1.5 Bilion Bukan Penamat dan Hak 40 Peratus Masih Dirunding – Azrul

0
SHARE

KOTA KINABALU: Peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu perkembangan penting dalam perjuangan hak kewangan Sabah, namun ia bukan penyelesaian muktamad kepada tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang masih dalam proses rundingan tegas Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim.

Beliau berkata, jumlah RM1.5 bilion yang diumumkan itu masih berstatus Pemberian Khas Interim sementara formula sebenar pelaksanaan hak 40 peratus Sabah dimuktamadkan menerusi rundingan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Jelas Azrul, masih terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang menganggap isu hak 40 peratus dan Pemberian Khas sebagai dua perkara berasingan sedangkan kedua-duanya mempunyai hubungan langsung di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“RM1.5 bilion ini merupakan satu pencapaian yang besar berbanding apa yang diterima Sabah selama ini, tetapi ia bukan penamat kepada perjuangan. Hak 40 peratus masih sedang dirunding dan formula muktamadnya belum ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Azrul, berdasarkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan serta Bahagian IV Jadual Kesepuluh, Sabah berhak menerima Pemberian Khas daripada Kerajaan Persekutuan yang asalnya dikaitkan dengan formula dua perlima atau 40 peratus daripada hasil bersih tertentu yang dipungut di negeri itu.

Katanya, apabila rakyat bercakap mengenai hak 40 peratus, mereka sebenarnya merujuk kepada asas perlembagaan yang digunakan untuk menentukan kadar Pemberian Khas yang sepatutnya diterima Sabah.

Beliau menjelaskan bahawa kadar Pemberian Khas Sabah kekal sekitar RM26.7 juta setahun sejak tahun 1974 tanpa semakan yang signifikan selama beberapa dekad, manakala cadangan semakan pada tahun 2019 kepada kira-kira RM53.4 juta tidak berjaya dilaksanakan.

Bagaimanapun, hasil rundingan berterusan antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan menyaksikan peningkatan Pemberian Khas Interim kepada RM125.6 juta pada 2022, RM300 juta pada 2023 dan 2024, RM600 juta pada 2025 serta RM1.5 bilion pada tahun ini.

“Peningkatan ini menunjukkan tuntutan Sabah terus diberi perhatian. Pada masa sama, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pelaksanaan hak 40 peratus bukan lagi persoalan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak, sebaliknya hanya menunggu pemuktamadan mekanisme dan kaedah pelaksanaan,” katanya.

Azrul berkata, pelbagai angka telah dikemukakan oleh pelbagai pihak berhubung nilai sebenar hak 40 peratus, dengan ada yang menganggarkannya sekitar RM4 bilion setahun, manakala terdapat juga tafsiran yang meletakkan jumlah tersebut hampir RM19 bilion setahun.

Menurutnya, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan pragmatik dengan mencadangkan agar dua sumber hasil yang tidak dipertikaikan, iaitu hasil berkaitan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dijadikan asas pembayaran interim yang dianggarkan bernilai RM3.019 bilion pada kadar 40 peratus.

Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan formula yang adil, jelas dan mampan dapat dimuktamadkan secepat mungkin supaya hak 40 peratus Sabah dapat dilaksanakan sepenuhnya selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

“Perjuangan ini masih belum selesai, namun kita juga perlu berlaku adil. Kerajaan MADANI telah menunjukkan komitmen yang jelas dengan meningkatkan Pemberian Khas Interim Sabah daripada RM125.6 juta pada tahun 2022 kepada RM1.5 bilion hari ini sambil meneruskan rundingan bagi memuktamadkan hak 40 peratus Sabah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tuntutan melibatkan tahun-tahun terdahulu yang belum diselesaikan perlu terus dirundingkan secara konstruktif antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan demi mencapai penyelesaian terbaik untuk semua pihak.