SPRM Sabah Syor Lima Langkah Perkukuh Tatakelola Rumah Mesra SMJ

SPRM Sabah Syor Lima Langkah Perkukuh Tatakelola Rumah Mesra SMJ

0
SHARE

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mengemukakan lima cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) susulan isu rumah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (RMSMJ) yang tidak diduduki selepas siap dibina.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata, syor itu antaranya melibatkan penetapan kriteria penerima yang lebih ketat, termasuk hanya Ketua Isi Rumah layak memohon, larangan menyewakan atau memindah milik rumah, serta kewajipan merobohkan rumah usang selepas rumah baharu siap.

“Cadangan ini dibuat hasil siasatan awal yang mendapati terdapat penerima bantuan tidak mendiami rumah RMSMJ dan menyewakannya kepada pihak lain,” katanya.

SPRM Sabah turut mencadangkan mekanisme pemantauan sebelum, semasa dan selepas pembinaan, penggunaan borang permohonan rasmi dengan peringatan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, serta taklimat garis panduan kepada semua pihak terlibat.

Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Datuk Myrna Jimenez yang menyambut baik cadangan itu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan bagi memperkukuh kelemahan sedia ada.

“KPLB akan meneliti dan melaksanakan penambahbaikan yang dicadangkan bagi memastikan pelaksanaan RMSMJ lebih berintegriti dan berkesan,” katanya.

Sesi pembentangan itu diadakan di pejabat KPLB Sabah, semalam.