KOTA KINABALU: Polis menahan dua suspek lelaki dan wanita tempatan berusia lingkungan 30-an selepas menumpaskan satu kes pecah rumah dan curi kenderaan dalam operasi khas di sekitar Menggatal pada lewat malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, tangkapan dibuat hasil tindakan pantas dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu yang berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh kurang 24 jam.
“Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan di Taman Ujana Kingfisher serta dipercayai ada kaitan dengan tiga lagi kes di Luyang dan Menggatal,” katanya.
Menurut beliau, polis merampas kenderaan, peralatan pecah rumah yang diubah suai, telefon bimbit, jam tangan pintar, tablet, kamera digital, beg tangan dan barangan peribadi lain.
Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing menunjukkan seorang daripadanya positif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, dan ACP Kasim menegaskan komitmen polis membanteras jenayah harta benda serta menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat demi keselamatan bersama.






