PENAMPANG, SABAH – Operasi Bersepadu Pendatang Tanpa Izin (OP PATI) yang dijalankan malam semalam berjaya menahan 15 individu.
Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata kolaborasi bersama Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Daerah Penampang berlangsung dari jam sembilan malam sehingga jam dua pagi.
“Operasi telah dijalankan di dua kawasan setinggan di daerah penampang dan seramai 49 orang telah diperiksa.
“Seramai 15 pendatang tanpa izin iaitu 12 warganegara Filipina dan 3 warganegara Indonesia telah ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang saH.
“Kesemua individu ditahan di bawah kesalahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sammy menasihatkan masyarakat setempat supaya tidak memberikan peluang kepada PATI untuk mendirikan kediaman di tanah milik persendirian ataupun menyewakan rumah kepada mereka.
“Tindakan menawarkan tempat tinggal atau tempat kerja kepada pati adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen.
“Pihak polis akan mempergiat operasi seperti ini dalam usaha untuk mengekang kemasukan dan kebanjiran PATI di dalam daerah Penampang,” tambahnya.
Diketuai Sammy, OP PATI melibatkan kekuatan seramai 38 pegawai kanan dan anggota polis, 13 penguasa Imigresen, 15 penguatkuasa Majlis Daerah Penampang dan empat pegawai JPN.





