Tangkapan Salah Berakhir Penderaan, Pemuda 20 Tahun Buat Laporan

Tangkapan Salah Berakhir Penderaan, Pemuda 20 Tahun Buat Laporan

0
SHARE

PETALING JAYA: Seorang pemuda berusia 20 tahun mendakwa menjadi mangsa pukul, penyeksaan dan penderaan oleh anggota polis selepas ditahan secara salah berhubung kes curi ragut pada November lalu.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Daniel membuat pendedahan itu dalam satu sidang media di sini, semalam, dengan ditemani ibunya serta wakil Lawyers for Liberty (LFL).

Pengarah Eksekutif LFL, Latheefa Koya, berkata Daniel mendakwa dipukul berulang kali dan ditekan supaya mengaku melakukan jenayah yang tidak dilakukannya.

Menurutnya, penderaan itu didakwa berlaku susulan tangkapan salah oleh polis, termasuk ketika Daniel berada di rumah datuknya.

“Daniel dipukul dan ditekan supaya membuat pengakuan. Ini satu dakwaan serius melibatkan pencabulan hak asasi dan salah guna kuasa,” katanya.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah peguam Rajesh Nagarajan dan Yu Ying Ying.

LFL turut menayangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa menunjukkan insiden serangan terhadap Daniel di kediaman datuknya, yang menurut mereka jelas membuktikan berlakunya penderaan fizikal.

Peguam yang mewakili Daniel menuntut siasatan bebas dan telus dijalankan terhadap dakwaan berkenaan serta tindakan tegas diambil sekiranya wujud salah laku dalam proses tangkapan dan siasatan.

Mereka juga menggesa pihak berkuasa memastikan keselamatan mangsa serta menjamin hak asasi setiap individu dihormati selaras dengan undang-undang.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak polis berhubung dakwaan tersebut.