PPM Kudat Berjaya Patahkan Percubaan 2 Kapal Nelayan Seludup Keluar Barang Kawalan

PPM Kudat Berjaya Patahkan Percubaan 2 Kapal Nelayan Seludup Keluar Barang Kawalan

0
SHARE

KUDAT, SABAH – Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat berjaya mematahkan percubaan dua kapal nelayan yang dipercayai ingin menyeludup keluar barang-barang kawalan pada 12.30 tengah malam semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat ASP Rizauddin Selamat berkata hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kapal membawa kepada penemuan 14 unit tong gas, 12 tong berisi minyak petrol dan 30 tong kosong.

Beliau yang dipetik Bernama berkata dua lelaki yang merupakan juragan kapal, masing-masing berumur 29 dan 47 tahun, turut ditahan dalam Op Landai Khas itu.

Katanya kedua-dua kapal telah dirampas dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan daripada tangkapan dan rampasan ini dianggarkan kira-kira RM184,755.00,” menurutnya dalam kenyataan di sini malam, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang membawa hukuman maksimum denda RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.