KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Sabah (KEPKAS) dilantik sebagai agensi peneraju jawatankuasa penganjuran Hari Malaysia 2024 yang akan diadakan di Sabah, September depan.
Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Sabah, Datuk Christina Liew beberapa siri perbincangan akan diadakan bersama agensi yang berkenaan bagi memastikan Sambutan Hari Malaysia 2024 berjalan dengan lancar.
“Pembentukan jawatankuasa akan dibentuk yang akan melibatkan agensi negeri dan persekutuan bagi membincangkan program-program bersesuaian untuk sambutan Hari Malaysia.
“Lokasi sambutan juga bakal dimuktamadkan pada perbincangan akan datang memandangkan terdapat beberapa cadangan lokasi yang dilihat sesuai bagi penganjuran sambutan ini” katanya kepada media selepas mengadakan perjumpaan bersama Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam semalam.
Fahmi berangkat ke Kuala Lumpur pada jam 7.05 malam setelah selesai mengadakan lawatan kerja dua hari di Sabah.
Antara yang mengiringi Fahmi ialah Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Sabah Ratnawati Talib, Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sabah Supian Musa serta Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah, Cyril Simon. — JABATAN PENERANGAN SABAH






