KOTA KINABALU, SABAH – Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan Sabah Biodiversity Centre (SaBC) berkomitmen memperkukuh kerjasama dalam perlindungan pengetahuan tradisional dan sumber genetik.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata, selain memulihara melindungi khazanah tradisional, kerjasama tersebut turut akan memperkasa fungsi Malaysia Traditional Knowledge Digital Library (MyTKDL).
“Usaha ini bertujuan untuk memelihara biodiversiti negara, terutamanya di negeri Sabah dan Sarawak yang kaya dengan sumber alam semulajadi dan merupakan langkah penting dalam memastikan perlindungan dan pengurusan pengetahuan tradisional dan sumber genetik menjadi lebih berkesan.
“Dalam masa sama membantu MyIPO membangunkan pangkalan data digital yang menghimpunkan maklumat pengetahuan tradisional dan sumber genetik di Malaysia dikenali MyTKDL yang digunakan oleh Pegawai Pemeriksa Paten menjalankan carian priorat dan pemeriksaan permohonan paten berkaitan pengetahuan tradisional dan sumber genetik untuk dipatenkan sebagai langkah defensif yang telah terbukti berkesan di negara-negara yang kaya dengan sumber genetik.
“Sebagai contoh tumbuhan tradisional Tongkat Ali yang telah diguna pakai sejak turun temurun di negara kita dan diketahui mempunyai khasiat dalam perubatan telah dipatenkan sebagai harta intelek di sini dan pihak luar tidak boleh lagi menuntut kerana adanya data dalam MyTKDL, begitu juga dengan buah Bambangan yang dikatakan mampu mengubati kanser seharusnya dibuktikan untuk dipatenkan segera, “katanya dalam majlis Pelancaran Seminar Dan Meja Bulat Pengetahuan Tradisional Serta Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara MyIPO dan SaBC Sempena Hari Biodiversiti Negeri Sabah 2024 di sini pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Pengarah MyIPO, Kamal Kormin menegaskan bahawa MyIPO sentiasa komited mengawalselia sistem harta intelek termasuk permohonan dan pendaftaran.
“Kami percaya bahawa harta intelek memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan pembangunan negara yang seharusnya di didaftarkan sebagai perlindungan dan bermanfaat kepada nilai ekonomi.
“Sehingga April 2024, MyIPO menerima sebanyak 19,177 permohonan harta intelek dengan peningkatan sebanyak 2.1 peratus dalam tempoh sama pada 2023 iaitu sebanyak 18,786 permohonan.
“Bagi negeri Sabah, sehingga 30 April 2024, sebanyak 14 permohonan harta intelek diterima, namun saya yakin potensi besar yang ada di Sabah dengan kekayaan sumber-sumber semulajadi dan dari segi aktiviti ekonominya, angka permohonan harta intelek akan meningkat.
Teks beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Strategik Dan Teknikal) MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Peto Galim, Pengarah SaBC, Dr. Gerald Jetony, Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Ts Dr. Khairul Naim Adham dan Pengarah Bahagian Sains Paten dan Pengetahuan Tradisional, Suraya Muhammad. — JABATAN PENERANGAN SABAH