KSTI Tekad Cungkil Minat Pelajar Sabah Dalam Bidang STEM

KSTI Tekad Cungkil Minat Pelajar Sabah Dalam Bidang STEM

0
SHARE
Arifin
Arifin melawat salah sebuah reruai dalam majlis ( Sumber Foto: Ihsan KSTI )

KOTA KINABALU, SABAH – Hanya 27 peratus pelajar Sabah memilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata angka itu masih jauh daripada sasaran 60 peratus STEM kepada 40 peratus aliran sastera mereka.

“Kami berharap untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2024.

“Ia adalah jumlah yang agak kecil memandangkan semenanjung mempunyai lebih 30 (peratus) pelajar STEM.

“Ini amat membimbangkan kerana kita mahu menyediakan modal insan dengan kemahiran untuk memenuhi keperluan pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.

Arifin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Penutupan Karnival STEM Sekolah Menengah 2023 di Maktab Sabah, di sini, semalam.

Beliau gembira penyertaan meningkat dua kali ganda daripada lebih 30 kepada 77 sekolah tahun ini malah melibatkan SMA Cakra Buana dari Indonesia dan Sekolah Menengah Westwood dari Singapura.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kreativiti adalah salah satu ciri utama yang diperlukan oleh syarikat multinasional dan antarabangsa dalam pengambilan pekerja.

“KSTI sangat menyokong program Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bertujuan menarik minat pelajar dan menghilangkan persepsi bahawa sains adalah mata pelajaran yang sukar.

“Menerusi program ini, secara tidak langsung kesedaran semua lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, guru dan masyarakat tentang kepentingan pendidikan dan kerjaya STEM dapat ditingkatkan.

“Tahun ini, KSTI memperuntukkan RM250,000 untuk semua pejabat pendidikan daerah dalam menjayakan program STEM Fiesta selaras dengan pelan strategik Sabah Maju Jaya dan Sabah Sepakat Hebat.

“Ini semua untuk menanam benih minat kepada generasi baharu. Kami sentiasa berusaha mencari jalan dalam membantu sekolah aktif mencapai hasrat ini,” katanya.