SPRM Tahan Dua Lelaki Terlibat Projek Bekalan Keperluan Mangsa Banjir

SPRM Tahan Dua Lelaki Terlibat Projek Bekalan Keperluan Mangsa Banjir

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor semalam menahan dua lelaki disyaki terlibat dalam pembekalan barangan keperluan mangsa banjir bernilai kira-kira RM900,000.

Sumber berkata suspek pertama merupakan bekas pengurus operasi sebuah yayasan dipercayai telah menyalahgunakan jawatannya untuk mengesyorkan syarikat milik suspek kedua yang mempunyai hubungan persaudaraan bagi membekalkan barangan berkenaan pada tahun lepas.

Beliau yang dipetik Bernama berkata, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai ditahan kira-kira pukul 2.30 petang tadi di pejabat SPRM Selangor ketika diminta hadir untuk memberi keterangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini bagi tujuan permohonan reman.