KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang meneliti cadangan pemberian subsidi yuran Kursus Pra Perkahwinan Islam, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan pasangan muda, sebagai usaha memperkukuh institusi kekeluargaan Islam di negeri ini.
Menteri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata inisiatif yang dilaksanakan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) itu bertujuan meringankan beban kewangan bakal pengantin di samping memastikan mereka memperoleh pendedahan mencukupi mengenai ilmu kekeluargaan, tanggungjawab serta kefahaman syariah sebelum mendirikan rumah tangga.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri turut mempertimbangkan pelaksanaan Program Kahwin Perdana sebagai langkah proaktif membantu golongan kurang berkemampuan serta menggalakkan perkahwinan yang sah, teratur dan menepati kehendak syarak.
“Program seumpama ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos perkahwinan, malah menyemai nilai kesederhanaan, keberkatan dan tanggungjawab dalam pembinaan institusi keluarga Islam,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya dipersetujui, kedua-dua inisiatif itu akan dilaksanakan secara terancang dan berperingkat dengan kerjasama JHEAINS, MUIS, agensi berkaitan serta komuniti setempat, selain memastikan pematuhan kepada peruntukan undang-undang dan prosedur perkahwinan Islam yang berkuat kuasa di Sabah.
Kerajaan negeri, katanya, akan terus meneliti dan memperhalusi dasar berkaitan hal ehwal kekeluargaan Islam secara berhemah dan realistik selaras dengan keutamaan semasa serta kemampuan kewangan negeri demi menjamin kebajikan dan kesejahteraan umat Islam di Sabah.






