KOTA KINABALU: Orang muda, Azrul Ibrahim, 38 tahun dilantik sebagai Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah selepas mengangkat sumpah jawatan dalam Majlis Angkat Sumpah Setiausaha Politik yang berlangsung di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Azrul yang juga bekas Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) serta pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah, mengetuai barisan Setiausaha Politik baharu yang dilantik bagi memperkukuh jentera sokongan pentadbiran dan penyampaian dasar kerajaan negeri.
Majlis angkat sumpah itu diadakan pada pagi tadi di Bilik Mesyuarat Utama Menara Kinabalu, membabitkan pelantikan seramai 18 Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri dan beberapa menteri Kabinet negeri.
Turut dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri ialah YBhg Datuk Effendi Mohamed Sunoh, YBhg Datuk Mazlan @ Joehari Manan, YBhg Datuk Arthur Sen Siong Choo @ Sin Siong Choi, YBhg Datuk Hajah Norazlinah Haji Arif, YBhg Datuk Lahirul Latigu, Puan Noorazmahirah Noorzain, Encik Mohd Isquzawan Israq Dato’ Seri Dr. Haji Arsit serta Dr. Bonaventure Boniface.
Sementara itu, Encik Johari @ Joe Haji Suhaimin dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, manakala Encik Carlyle Lajimin kepada Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan serta Encik Abd. Wahid Abd Razak kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Pelantikan lain termasuk Encik Justinus Jalang sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi; Encik M. Aziriansyah Ali kepada Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif; serta Encik Sabili Ahunang kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Selain itu, Encik Marius Masain dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, YBhg Datuk Raime Unggi kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, manakala Encik Herbert Roger kepada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.
Pelantikan barisan Setiausaha Politik ini dilihat sebagai langkah memperkukuh penyelarasan dasar, mempercepat penyampaian maklumat kerajaan serta merapatkan hubungan antara kepimpinan negeri dan rakyat selaras agenda pembangunan Sabah Maju Jaya.






