SEPANG: AirAsia menasihatkan semua penumpang agar merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi garis panduan perjalanan yang ditetapkan bagi memastikan pengalaman penerbangan yang lancar dan selesa sepanjang musim cuti sekolah dan tempoh perjalanan puncak sehingga awal Februari depan.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu menggalakkan penumpang menggunakan daftar masuk kendiri menerusi aplikasi AirAsia MOVE yang boleh dilakukan seawal 14 hari hingga satu jam sebelum waktu berlepas, sekali gus membolehkan pas masuk elektronik diperoleh lebih awal.
AirAsia memaklumkan perkhidmatan daftar masuk di kaunter hanya disediakan kepada tetamu kurang upaya, penumpang yang melakukan perjalanan bersama bayi, wanita hamil, warga emas serta remaja yang melakukan perjalanan bersendirian.
Menurut kenyataan itu, wanita hamil diwajibkan mengisi borang di kaunter sebelum menaiki pesawat, manakala mereka yang hamil melebihi 27 minggu perlu mengemukakan sijil perakuan sah daripada doktor.
Bagi penumpang kurang upaya, pra-tempahan Bantuan Khas termasuk perkhidmatan kerusi roda boleh dibuat semasa tempahan atau melalui fungsi ‘My Booking’ di aplikasi AirAsia MOVE sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu berlepas.
AirAsia turut mengingatkan penumpang penerbangan antarabangsa supaya memastikan keperluan perjalanan seperti visa dan transit dipenuhi, dengan aplikasi AirAsia MOVE dan laman web airasia.com kini membolehkan pengesahan visa automatik bagi memudahkan proses daftar masuk dalam talian.
Penumpang juga dinasihatkan tiba lebih awal di lapangan terbang iaitu sekurang-kurangnya dua jam sebelum penerbangan domestik dan tiga jam bagi penerbangan antarabangsa, memandangkan kaunter daftar masuk akan ditutup satu jam sebelum berlepas di KLIA Terminal 2 dan 45 minit bagi lapangan terbang lain.
Selain itu, AirAsia menggalakkan penggunaan pas masuk elektronik, kiosk tanpa sentuh untuk cetakan tag bagasi dan aplikasi MyBorderPass bagi mempercepat proses imigresen, selain mengingatkan penumpang agar mematuhi had saiz dan berat bagasi kabin yang ditetapkan.






