STAR Sabah Tamparuli ‘Nampak’ Kampung Kauluan ‘Halimunan’ Terjejas Banjir

STAR Sabah Tamparuli ‘Nampak’ Kampung Kauluan ‘Halimunan’ Terjejas Banjir

0
SHARE
Star
Sekitar penyerahan bantuan di Dewan Kampung Kauluan ( Sumber Foto: Ihsan STAR Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ketika semua mata tertumpu pada Penampang semasa banjir Ahad lalu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Tamparuli ‘melihat’ Kampung Kauluan ‘halimunan’ yang turut teruk terjejas.

Bahagian STAR Sabah Tamparuli bertindak balas terhadap catatan Facebook oleh Siti Nooraisah Tayor yang mendakwa mereka tidak dilihat kerana seolah-olah perhatian hanya tertumpu kepada Penampang.

Hasilnya, kira-kira 100 penduduk kampung menerima bantuan bekalan beras, air mineral, makanan kering dan keperluan bayi dalam majlis penyerahan tugas diketuai Ketua Bahagian STAR Sabah Tamparuli, John Jinitoh di dewan kampung tersebut pada Rabu.

Siti berterima kasih dengan bantuan itu sambil menjelaskan kawasan itu terdiri daripada lima kampung kecil iaitu Nohirot, Kauluan Ulu, Dangsangai dan Tambalaong selain Kauluan sendiri.

“Saya menerima berita bahawa kawasan atas kampung kami telah dinaiki air melalui satu kumpulan WhatsApp sekolah.

“Saya terus memberitahu ahli keluarga saya untuk bersiap sedia bagi menghadapi sesuatu yang teruk.

“Dalam 15 minit air sudah berada di paras pinggang,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua ibu bapanya, suami, anak berusia dua tahun dan bayi dua bulan menunggu sehingga air surut di tingkat atas rumah mereka semalaman.

“Air tidak surut walaupun pada pukul tujuh pagi keesokan harinya.

“Kebanyakan perkakasan elektrik kami rosak. Saya percaya ia adalah banjir paling teruk yang pernah kami alami,” katanya.

Setiausaha Bahagian STAR Sabah Tamparuli, Karren Cassandra, berkata mereka berterima kasih kepada semua penderma dan masih bekerja keras dalam mencari jalan untuk membantu.

“Kami sedar bahawa terdapat kampung yang terjejas berhampiran masih memerlukan bantuan. Kami sedang melakukan yang terbaik.

“STAR Sabah sentiasa bersedia membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang, bangsa atau agama.

“Adalah menjadi tugas kami untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.