KOTA KINABALU: Usahawan Sabah khususnya dalam sektor agromakanan diseru memanfaatkan teknologi, inovasi dan platform digital bagi meningkatkan daya saing produk tempatan serta menembusi pasaran yang lebih luas.
Pembantu Menteri Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Ruslan Muharam berkata, cabaran usahawan masa kini bukan sekadar menghasilkan produk berkualiti, tetapi memastikan produk yang dihasilkan konsisten, selamat, mempunyai pembungkusan menarik serta memenuhi kehendak pasaran.
“Usahawan perlu terus dibantu sepanjang rantaian nilai, bermula daripada peningkatan kemahiran, penggunaan teknologi, penambahbaikan kualiti produk, pembungkusan dan penjenamaan, sehinggalah kepada akses pembiayaan dan pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jelajah JIWA SME Sabah 2026 anjuran Astro AWANI bersama Unifi Business, di sini, hari ini.
Menurut Ruslan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negeri menerusi penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan keluarga serta perkembangan aktiviti ekonomi termasuk di kawasan luar bandar.
Katanya, sektor agromakanan mempunyai potensi besar untuk terus dikembangkan memandangkan Sabah memiliki sumber semula jadi, hasil pertanian dan perikanan yang pelbagai serta produk tempatan yang berpotensi dipasarkan pada skala lebih besar.
Ramai usahawan, katanya, bermula dengan perusahaan kecil berasaskan hasil pertanian, perikanan, makanan diproses dan produk hiliran sebelum berkembang menjadi perniagaan yang mampu memberikan nilai tambah kepada hasil tempatan.
Mengulas tema program, “Agromakanan dan Kelestarian”, Ruslan berkata penyertaan MAFFI dalam jelajah berkenaan merupakan sebahagian usaha kementerian mendekati komuniti usahawan melalui perkongsian teknologi pertanian moden, pemprosesan makanan, pertanian bandar, pengurangan sisa makanan, pembungkusan mesra alam dan pembangunan produk bernilai tambah.
Beliau berkata aspek kelestarian juga semakin penting dalam pembangunan perniagaan berikutan pengguna dan pasaran kini lebih menitikberatkan penggunaan sumber secara berhemah, pengurangan pembaziran serta pengurusan sisa yang lebih baik.
Pada masa sama, Ruslan menggalakkan peserta memanfaatkan sepenuhnya Jelajah JIWA SME Sabah 2026 termasuk sesi podcast, Sudut Solusi SME, Pentas Jual, Pentas CIPTA serta sesi jaringan bersama agensi dan rakan industri untuk membina hubungan strategik dan meneroka peluang perniagaan baharu.
Beliau turut menyeru lebih ramai belia, wanita dan usahawan luar bandar menceburi sektor agromakanan yang mempunyai prospek cerah susulan perkembangan teknologi, inovasi serta kemunculan model perniagaan baharu.
Ruslan berharap program berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan lebih banyak perusahaan tempatan yang berdaya tahan dan berdaya saing, sekali gus membawa produk Sabah menembusi pasaran lebih luas.






