AYER KEROH: Mekanisme pelaksanaan subsidi petrol dan diesel di Sabah serta Sarawak digesa agar dinilai semula demi memastikan keadilan dan kesejahteraan rakyat di kawasan pedalaman terus terbela.
Wakil Pembahas Borneo, Norhisham Mohamed Ali berkata, pendekatan keadilan perlu meletakkan sesuatu mengikut keperluan serta lokasi sebenar dan bukannya memberikan kadar saksama secara menyeluruh.
”Di Sabah dan Sarawak, kami menggunakan kenderaan pacuan empat roda (Hilux) bukan kerana kami kaya, tetapi itulah kenderaan yang paling sesuai dengan muka bumi dan lokasi kami untuk mengangkut hasil tanaman dari kebun.
”Prinsip kita mesti jelas. Yang baik kita pertahankan, yang kurang diperbaiki, dan yang belum selesai terus diperjuangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut mengenai agenda reformasi, Norhisham menegaskan bahawa keberanian kepimpinan hari ini perlu ditekankan kepada keupayaan mentadbir menerusi tata kelola yang baik.
Jelas beliau, hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri bukan sekadar menyentuh perihal peruntukan kewangan, sebaliknya melibat maruah dan kepercayaan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
”Hari ini keberanian kita mesti menjadi keberanian untuk mentadbir, berani bermuhasabah untuk kenal siapa kawan dan siapa lawan.
“Hubungan Kerajaan Negeri dan Persekutuan bukan sekadar soal peruntukan atau ‘siapa abang, siapa adik’, tetapi menyentuh maruah, kepercayaan MA63, pembangunan dan masa depan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik komitmen Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya menyelesaikan sebahagian besar tuntutan MA63 serta menaikkan Geran Khas Sabah dan Sarawak kepada RM600 juta bagi tahun 2025.
Namun begitu, beliau menggesa agar hasil penjimatan daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi dimanfaatkan secara berkesan menerusi penambahbaikan bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Kita boleh bina lebuh raya, jambatan, teknologi hijau, mahupun kecerdasan buatan (AI).
“Namun jalan raya yang dibina mesti membawa anak kampung kepada pendidikan dan peluang pekerjaan, manakala universiti melahirkan pemikir dan jurutera. Inilah sebenar-benarnya pembangunan insan,” katanya.






