AYER KEROH: Kerajaan Madani digesa agar mempertimbangkan semula agihan subsidi bahan api di Sabah dan Sarawak dengan meningkatkan kuota Budi Diesel kepada 500 liter sebulan berasaskan realiti geografi serta kebergantungan tinggi rakyat di wilayah Borneo.
Pembahas PKR dari Sabah, Junaidah Makku menegaskan, jarak perjalanan di pedalaman Borneo tidak sama seperti di Semenanjung kerana rakyat perlu bergerak jauh dari kampung ke pekan, hospital, sekolah mahupun tempat mencari rezeki.
Sehubungan itu, katanya, pertimbangan saksama wajar diberikan memandangkan Sabah dan Sarawak merupakan penyumbang utama hasil minyak dan gas negara.
”Sebagai wilayah penyumbang utama hasil minyak dan gas negara, rakyat Borneo berhak mendapat pertimbangan yang adil dan saksama mengikut realiti geografi setempat,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Melaka (MITC), di sini pada Sabtu.
Bagi mengelakkan berlakunya ketirisan dan penyalahgunaan diesel, Junaidah mencadangkan agar pengeluaran bahan api tersebut dihadkan kepada 125 liter seminggu.
Dalam masa sama, beliau turut mendesak kerajaan mengekalkan atau mengembalikan kuota Budi Madani Petrol kepada 300 liter sebulan bagi memenuhi keperluan harian rakyat Sabah dan Sarawak.
Mengulas lanjut mengenai ekonomi akar umbi, Junaidah menyatakan bahawa walaupun kadar kemiskinan mutlak di Sabah turun daripada 19.7 peratus pada tahun 2022 kepada 17.7 peratus pada tahun 2024, negeri itu masih mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia.
Beliau menggesa kerajaan mengubah paradigma bantuan bertongkat kepada pemerkasaan ekonomi yang membolehkan rakyat berdikari secara mampan.
”Di belakang angka-angka ini ada ibu, pekebun, peniaga kecil dan wanita yang membesarkan keluarga. Wanita Sabah dan Sarawak bukannya malas bekerja, tetapi kadang-kadang modal, latihan, teknologi dan pasaran tidak sampai. Latih mereka, biayai mereka, digitalkan mereka dan hubungkan mereka kepada pasaran,” ujar beliau.
Menyentuh aspek politik, beliau mengingatkan KEADILAN agar tidak terikut-ikut dengan mainan politik identiti atau perkauman pembangkang, sebaliknya menentang mereka menerusi prestasi dan keadilan.
Beliau turut menggesa penglibatan lebih ramai wanita dan Gen Z Borneo dalam bilik pembuat keputusan serta menganggotai Pelan Pembangunan Kepimpinan Wanita dan Gen Z Borneo.
“Kami tidak meminta dikasihani, kami meminta peluang yang adil. Berikan kami ruang, peluang dan kepercayaan – kami akan membalasnya dengan kerja, integriti, disiplin dan kesetiaan kepada perjuangan!” katanya.






