KDM Tarik Sokongan Terhadap GRS dan Sahkan Sudah Bincang Kerjasama PRU16 Dengan...

KDM Tarik Sokongan Terhadap GRS dan Sahkan Sudah Bincang Kerjasama PRU16 Dengan WARISAN, STAR

0
SHARE
Sumber Gambar: UTUSAN

PAPAR: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan mengesahkan sudah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan Parti Warisan (WARISAN) serta Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengenai kemungkinan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, Presiden KDM, Priscella Peter berkata, keputusan untuk bergerak di luar kerajaan GRS dibuat bersama Majlis Tertinggi parti selepas mengambil kira kepentingan KDM dan usaha mendapatkan semula kepercayaan rakyat di peringkat akar umbi.

“Apa yang penting adalah sebagai persiapan menghadapi PRN dan PRU, parti KDM bersama-sama dengan Majlis Tertinggi parti telah memutuskan untuk bergerak tanpa berada dalam kerajaan GRS.

“Keputusan ini sungguh berat, tetapi apa yang penting bagi kami adalah untuk menunjukkan kepada rakyat dan ahli-ahli di akar umbi bahawa kita mempunyai hala tuju yang jelas untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat dan Hala Tuju Parti KDM Menjelang PRU Ke-16 di Beringgis Resort, Papar.

Priscella berkata, keputusan itu bukan dibuat secara individu, sebaliknya secara bersama dengan mengambil kira kepentingan parti dan generasi akan datang.

Menurutnya, KDM perlu mula membina semula keyakinan rakyat lebih awal dan tidak mahu dilihat sebagai parti yang hanya bergerak ketika pilihan raya atau selepas Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Keputusan yang kami ambil hari ini adalah untuk menunjukkan penegasan, bukan sahaja apabila pilihan raya atau PRU akan datang, tetapi sebelum itu lagi kita perlu bergerak untuk membina dan mendapatkan semula kepercayaan daripada rakyat di akar umbi,” katanya.

Mengulas kedudukan pemimpin KDM yang memegang jawatan dalam agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Priscella berkata, parti akan mematuhi protokol ditetapkan susulan keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan GRS.

“Jika menarik sokongan daripada kerajaan, sekiranya protokol menyatakan perlu melepaskan jawatan, maka itulah yang akan berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Priscella mengesahkan KDM tidak berhasrat bertanding secara solo pada PRU16, sebaliknya terbuka bekerjasama dengan parti tempatan bagi membentuk blok politik berteraskan kepentingan Sabah.

Katanya, perbincangan awal secara tidak rasmi sudah diadakan dengan WARISAN dan STAR, namun belum ada sebarang keputusan muktamad.

“Dengan WARISAN, mungkin ya. Dengan STAR, ya. Tetapi kami belum membuat keputusan muktamad kerana kami perlu mengadakan perbincangan lanjut. Kami lebih ke arah bekerjasama dengan parti tempatan,” katanya.

Menurutnya, cadangan pembentukan Blok Borneo juga masih memerlukan perbincangan lanjut bersama Majlis Tertinggi KDM sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kami berkawan (dengan parti lain) dan kami ada berbincang, tetapi keputusan akhir belum lagi diumumkan. Belum memulakan perbincangan rasmi lagi. Setakat ini hanya perbincangan santai secara kopi-kopi,” katanya.