KOTA MARUDU: Masyarakat Orang Asal Sabah adalah rakan penting dalam pembangunan negeri dan perlu terus diberikan ruang untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam membina masa depan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri perlu mengambil kira kepentingan semua lapisan masyarakat selaras aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk membina negeri yang maju, aman dan sejahtera.
“Bagi Kerajaan Negeri, kemajuan yang kita usahakan haruslah mengambil kira kepentingan seluruh lapisan masyarakat, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya untuk membina sebuah negeri yang maju, aman dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Karnival Momogun sempena Hari Orang Asal Sedunia 2026 di Dataran Kota Marudu, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata, kedudukan Anak Negeri Sabah turut diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 153 yang antara lain memperuntukkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa Anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain.
Menurutnya, pengiktirafan itu turut mengingatkan semua pihak mengenai kepentingan memelihara identiti, bahasa, adat resam, kebudayaan dan sejarah Orang Asal Sabah sebagai sebahagian daripada khazanah negeri.
“Kepelbagaian etnik dan komuniti Anak Negeri ini bukanlah sesuatu yang memisahkan kita. Sebaliknya, kepelbagaian inilah yang menjadi salah satu kekuatan terbesar Sabah dan membentuk keunikan negeri yang kita cintai ini,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa menghormati kepelbagaian identiti, istilah dan tradisi pelbagai etnik serta komuniti Anak Negeri di Sabah.
Katanya, tema Karnival Momogun tahun ini, “Memperkasa Kesejahteraan Orang Asal”, bertepatan dengan usaha memastikan pembangunan negeri bergerak seiring dengan kesejahteraan rakyat.
Hajiji berkata, kesejahteraan tidak hanya boleh dinilai melalui pembangunan ekonomi, sebaliknya turut merangkumi keharmonian masyarakat, pemeliharaan identiti dan warisan, pendidikan, pembangunan modal insan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan tanpa kehilangan akar budaya.
Dalam hubungan itu, katanya, Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak-Hak Orang Asal (UNDRIP) turut menjadi antara rujukan penting di peringkat antarabangsa, termasuk dalam aspek pemeliharaan identiti, bahasa, adat, tradisi dan warisan budaya masyarakat Orang Asal untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Prinsip-prinsip ini mengingatkan kita bahawa pembangunan dan pemeliharaan warisan tidak semestinya bertentangan antara satu sama lain,” katanya.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Momogun National Congress, Pejabat Daerah Kota Marudu, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan seluruh jawatankuasa atas kejayaan menganjurkan karnival berkenaan.
“Sabah adalah rumah kita bersama. Negeri ini dibentuk oleh kepelbagaian masyarakat, bahasa, kebudayaan dan adat resam yang telah hidup bersama sejak sekian lama.
“Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan pembangunan negeri dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.






