KOTA KINABALU, SABAH – Majlis tertinggi Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Sabah (KDCA) petang tadi telah membuat laporan polis terhadap peguam bela Philip Among iaitu Marcel Jude, mengenai kenyataannya yang menyamakan Pertandingan Unduk Ngadau “seperti pertunjukan lembu eksotik”.
Pertandingan tersebut yang dirayakan oleh Masyarakat Kadazandusun (KDMR) jelas menunjukkan satu kenyataan provokasi terhadap suku kaum itu kata Setiausaha Agung KDCA Suman Yasambun.
Suman berkata hujah Marcel sebagai alasan mendapat pembebasan ikat jamin untuk anak guamnya dianggap sebagai menghina Masyarakat Kadazandusun (KDMR).
“KDCA telah mendapat bantahan daripada semua lapisan Masyarakat Kadazandusun (KDMR) terhadap kenyataan peguam tersebut dan desakan untuk mengambil tindakan terhadapnya…
“Masyarakat KDMR dibawah naungan KDCA mempunyai 40 suku kaum dan merupakan masyarakat yang mempunyai adat resam yang bersopan santun dan cintakan perdamaian, hidup harmoni dengan kaum-kaum yang lain tanpa menganggu gugat mana-mana kaum di Sabah.
“Tahap toleransi masyarakat KDMR amatlah tinggi untuk mencerminkan bahawa kami tidak mahu campur hal soal budaya kaum-kaum yang lain dan demikian juga kami (masyarakat KDMR) tidak mahu mana-mana pihak ingin mencampuri apa lagi memperlekeh urusan soal hak budaya kami,” katanya dlam sebuah kenyataan.
Suman berkata peristiwa penganjuran Unduk Ngadau baru-baru ini menjadi titik hitam kepada masyarakat KDMR di mana Philip Among telah dituduh mencabul kehormatan seorang peserta Unduk Ngadau yang telah menjadi kes Mahkamah.
“Belum pun perkara tuduhan tersebut diputuskan di mahkamah, peguam Philip Among mengeluarkan kenyataan bahawa Unduk Ngadau hanyalah sebuah pertandingan ratu cantik dan tidak melabambangkan wanita mahupun kemahiran, tahap edukasi dan kemampuan masing-masing tapi seperti satu lelongan lembu eksotik.”
Memetik ayat Marcel, “Tiada apa yang menarik tentang peserta-peserta wanita ini dan ada yang lebih berkemampuan tapi tidak dapat menyertai pertandingan tersebut.”
“Pertandingan Unduk Ngadau hanya kenangan zaman jahil di mana wanita diperagakan sebagai objek keinginan yang diarak seperti pertunjukkan haiwan peliharaan.”
Suman berkata kenyataan daripada Marcel itu telah menimbulkan kemarahan masyarakat KDMR.
“Penghinaan ini samalah seperti peribahasa meletkkan garam pada luka justeru itu walaupun masyarakat KDMR mempunyai tolerensi yang tinggi akan tetapi kita juga mempunyai had yang harus dihormati oleh semua kaum lain…
“Marcel Jude sebagai seorang peguam telah melangkaui batas tugas profesionnya sebagai seoarang peguam dengan menyerang KDMR melalui hujahnya yang sangat memalukan dan menghina Pertandingan Kebudayaan Unduk Ngadau.
“Laporan Polis pada hari ini mengingatkan bahawa KDCA tidak berdiam diri untuk menggunakan semua saluran yang dibenarkan oleh undang-undang untuk menuntut keadilan sebagai jalan penyelesaian,” katanya.
Suman berharap pihak polis membuat siasatan dan tindakan lanjut yang berpatutan terhadap Marcel yang perbuatannya dianggap sebagai cubaan menimbulkan kemarahan yang kalau tidak dikawal mungkin akan menimbulkan kekacauan ketenteraman awam.
Katanya di masa yang sama KDCA sedang mengkaji tindakan-tindakan yang berpatutan, selepas mendapat nasihat peguam-peguam dari suku kaum KDMR.
Joanna Datuk Kitingan yang merupakan Pengerusi Majlis Wanita KDCA dan Steve Johnny Mositun, Pengerusi Belia KDCA juga hadir dalam sesi laporan polis tersebut pada pukul 3 petang.