
PAPAR, SABAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakamkan penghargaan kepada usaha jurulatih Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Negeri Sabah atas usaha melaksanakan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat Institut Latihan Teknik Dan Perdagangan (ILTP) di sini, semalam.
Ia dizahirkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali semasa mengadakan lawatan kerja dan pemantauan di Kampus ILTP Papar.
“KIAR JPSM Negeri Sabah adalah program pertama dalam usaha menyebarluas mesej antirasuah kepada pelajar aliran TVET sejak diperkenalkan pada 9 Julai 2021.
“Ia juga menjadi penanda aras kepada usaha yang sama melibatkan institusi TVET lain di bawah Kementerian Belia Dan Sukan (KBS), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
“Saya menghargai usaha JPSM dan semua jurulatih ILTP Papar kerana komited mengajar KIAR.
“Maklum balas daripada jurulatih dan pelajar seperti mana dibentangkan adalah sangat baik. SPRM mengambil maklum cadangan menambahbaik modul dan kaedah pengajaran agar subjek yang dikongsi boleh memberi nilai tambah bukan sahaja bagi tujuan akademik, malah sebagai asas kepada permulaan kerjaya atau menjalankan perniagaan kelak,” tambahnya.
Turut serta dalam lawatan adalah Timbalan Pengarah SPRM Negeri Sabah, PKPj Alexander S.Kunghi dan Ketua Cawangan Pendidikan, Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, PKPj Mohd Nur Lokman Samingan.