Motosikal Abang Food Panda Disita JPJ Raih Simpati Netizen

Motosikal Abang Food Panda Disita JPJ Raih Simpati Netizen

0
SHARE
Rider
Tangkap layar rakaman seorang ‘rider’ Food Panda yang terpaksa berjalan kaki selepas motosikalnya disita ( Sumber Foto: Video tular di laman media sosial )

SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN – Rakaman seorang ‘rider’ Food Panda yang terpaksa berjalan kaki selepas motosikalnya disita oleh pihak penguasa meraih simpati netizen.

Dalam video 18 saat yang tular semalam, lelaki itu kelihatan berjalan di tepi jalan raya dalam cuaca terik sambil menggalas beg penghantaran makanan dan memakai topi keledarnya.

Sesetengah netizen mengecam tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seolah-oleh hukuman sitaan itu keterlaluan.

Safwahabd di ruangan komen Instagram berpendapat abang rider itu sepatutnya disaman sahaja tanpa disita penggerak nafkah.

“Aku faham perasaan orang ‘freelance’ ni sebab aku pun freelance…Agak-agaklah nak saman orang tengah cari rezeki, bukan orang tu mati bunuh orang.

“Allah memberikan rezeki kepada kamu dari sumber yang tidak kamu sangka, bahkan para malaikat dan iblis juga tidak mengetahui rahsia isi langit Allah yang maha suci dan besar,” katanya.

Tidak sampai 24 jam, pelakon dan pempengaruh Aisar Khaled tampil memberikan lelaki terbabit motor Yamaha LC135 baharu dan juga sedikit wang tunai.

Namun perbuatan amal itu juga mendapat pandangan berkonflik daripada netizen.

Ada yang mengatakan bersyukur dan mendoakan yang terbaik bagi Aisar tetapi ada juga yang berfikir hadiah sebuah motor baharu adalah tidak wajar.

Perkongsian seorang yang enggan dinamakan kepada Sabah News berbunyi:

“Salah rider sendiri, tahu guna kenderaan kena ikut peraturan pembaharuan lesen dan cukai jalan.

“Salah dia sendiri tapi diberi ganjaran motor baru. Motor baru pun kalau tidak renew roadtax alamatnya sama,” katanya.

JPJ Negeri Sembilan menerusi sebuah kenyataan menjelaskan, tindakan tersebut diambil selepas mendapati pekerja Food Panda tersebut melakukan kesalahan menunggang motosikal semasa Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans.

“Tindakan menyita motosikal dilakukan atas tujuan menjaga keselamatan penunggang tersebut dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans,” jelas dalam kenyataan tersebut.