BN Tenom Sedia Ambil Bahagian PRU Akan Datang, Keputusan Di Tangan Pucuk...

BN Tenom Sedia Ambil Bahagian PRU Akan Datang, Keputusan Di Tangan Pucuk Pimpinan – Raime

0
SHARE

TENOM: Barisan Nasional (BN) Tenom menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, namun menyerahkan sebarang keputusan mengenai penyertaannya kepada pucuk pimpinan parti melalui rundingan dan persefahaman bersama.

Pengerusi BN Tenom, Datuk Raime Unggi berkata, BN mempunyai kekuatan jentera, pengalaman serta sokongan akar umbi untuk terus memainkan peranan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat di kawasan berkenaan.

“BN Tenom bukan sekadar mahu menjadi pemerhati. Kita mempunyai tanggungjawab dan komitmen untuk memastikan kepentingan rakyat terus terbela.

“Bagaimanapun, sebarang keputusan mengenai penyertaan BN di Tenom pada pilihan raya akan datang adalah tertakluk kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti menerusi rundingan dan persefahaman bersama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Raime yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, setiap parti komponen BN perlu menyusun semula dan memperkemas struktur cawangan masing-masing bagi memantapkan organisasi serta gerak kerja di peringkat akar umbi.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan BN Tenom memiliki jentera yang lebih tersusun, berkesan dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang perkembangan politik.

“Apabila tiba masanya, BN Tenom bersedia menggalas amanah yang diberikan. Kita bukan sekadar mahu bersuara, tetapi mahu bekerja dan membuktikan kemampuan kepada rakyat,” katanya.