TUARAN: Ketua Cabang Keadilan Tuaran, Razeef Rakimin menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Kerajaan Negeri Sabah yang menyalurkan sumbangan 100 mesin hemodialisis tambahan kepada hospital dan klinik kerajaan di seluruh negeri.
Menurutnya, langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir (ESRF), khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.
“Sumbangan ini sangat tepat dan kena pada masanya. Di bawah Skim Bantuan Kesihatan Sabah Maju Jaya (SMJ) ‘Sabah Sejahtera’, kita yakin keutamaan adalah kesejahteraan rakyat, dan Keadilan menyokong penuh usaha ini,” katanya.
Sumbangan tersebut, yang melibatkan peruntukan RM8.5 juta, termasuk RM4 juta bagi subsidi rawatan dan RM4.5 juta untuk perolehan peralatan, akan diagihkan ke 23 hospital dan dua klinik yang menawarkan perkhidmatan dialisis di Sabah.
Mesin baharu yang disalurkan turut dilengkapi teknologi terkini, menggantikan peralatan lama yang kurang efisien.
Razeef turut menyambut baik pemberian bantuan bulanan sebanyak RM100 kepada pesakit yang menjalani rawatan di rumah melalui kaedah Dialisis Peritoneal Ambulatori Berterusan (CAPD).
Namun, beliau mengakui keperluan masih besar dan menuntut perhatian berterusan.
“Keadilan Tuaran sebelum ini telah meluluskan permohonan bantuan kewangan kepada 40 pesakit ESRF, tetapi realitinya kos rawatan yang tinggi dan kekurangan mesin masih menjadi cabaran utama kepada pesakit,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan Persekutuan agar meningkatkan peruntukan kepada sektor kesihatan di Sabah bagi menaik taraf perkhidmatan hospital dan kemudahan awam.
“Kita berharap kemudahan di hospital kerajaan serta ruang untuk pesakit dan pelawat turut diberi perhatian melalui tambahan dana yang mencukupi,” tambah beliau.






