KPDN Rampas Lebih 27,000 Pek Daun Terup Disyaki Tiruan Bernilai RM55,079 di...

KPDN Rampas Lebih 27,000 Pek Daun Terup Disyaki Tiruan Bernilai RM55,079 di Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan merampas sebanyak 27,495 pek daun terup berjenama yang disyaki tiruan bernilai RM55,079.20 menerusi serbuan serentak di tiga premis perniagaan sekitar daerah ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Sandakan, Joe Azmi Jamil berkata, operasi kira-kira jam 12 tengah hari pada 7 Oktober lalu itu dijalankan oleh tiga pasukan penguat kuasa bagi membanteras penjualan barangan yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik sah.

Beliau berkata, operasi berkenaan turut disertai wakil pemilik cap dagangan bagi membantu proses pengesahan barangan yang dirampas.

“Hasil operasi serentak itu, sebanyak tiga kes telah dihasilkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, baru-baru ini.

Joe Azmi turut mengingatkan peniaga supaya memastikan semua barangan berjenama yang dipasarkan diperoleh daripada sumber yang sah bagi mengelakkan pelanggaran undang-undang.

“Para peniaga juga perlu memastikan setiap barangan berjenama yang dijual di premis masing-masing diperolehi melalui pembekal yang sah,” katanya.

Menurutnya, individu yang disabitkan kesalahan di bawah akta berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berulang, hukuman boleh meningkat kepada denda RM20,000 bagi setiap barangan atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Sementara itu, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan pertama dan RM30,000 bagi kesalahan berikutnya.

KPDN Sandakan menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras penjualan barangan tiruan yang melanggar hak harta intelek serta mengelirukan pengguna.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti berkenaan boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000 atau portal e-Aduan KPDN di eaduan.kpdn.gov.my.