KOTA KINABALU, SABAH – Sebuah empangan dan loji rawatan air baharu bakal dibina sebagai langkah menangani permintaan bekalan air yang meningkat.
Ahli Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya berkata Loji Rawatan Air Moyog dan Loji Rawatan Air Kasigui tidak lagi dapat menampung permintaan yang melebihi bekalan.
“Loji rawatan air Moyog dan Kasigui masing-masing mempunyai kapasiti reka bentuk 215 juta liter sehari (lpd)…
“Bagaimanapun, pengeluaran semasa ialah 238 juta lpd yang sudah melebihi kapasiti sedia ada. Penduduk telah melebihi kapasiti pengeluaran, justeru kita memerlukan loji baharu untuk menambah kapasiti,” katanya pada Rabu.
Sebagai penyelesaian jangka pendek, Adun Tanjung Keramat itu berkata catuan air akan dilaksanakan di daerah ini sehingga masalah air surut.
“Tujuan catuan air adalah untuk membolehkan kawasan bertekanan air rendah dibekalkan air terawat pada tempoh masa yang ditetapkan.
“Oleh itu, penduduk di Putatan dinasihatkan supaya berwaspada dengan notis catuan air dan menyimpan air dalam tangki dan tempat simpanan air di rumah bagi memastikan ketersediaan air mencukupi,” katanya.
Katanya masalah air di kediaman tertentu seperti Pangsapuri Platinum berpunca daripada masalah teknikal.
“Jabatan Air Negeri akan menghubungi pengurusan perumahan untuk mengatasi isu itu dari sudut teknikal (yang melibatkan tangki pengimbang pangsapuri),” katanya.