Kehilangan Orang Tersayang Bukan Penghalang Graduan UMS Terlibat Dalam Badan Kepimpinan Pelajar

Kehilangan Orang Tersayang Bukan Penghalang Graduan UMS Terlibat Dalam Badan Kepimpinan Pelajar

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kehilangan orang tersayang tidak menjadi penghalang bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Matematik Dengan Ekonomi) Fakulti Sains dan Sumber Alam meneruskan penglibatan dalam badan kepimpinan pelajar.

Razman Durhan, 23, telah kehilangan ayah tercinta dua hari sebelum diumumkan sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sesi 2020/2021.

“Tidak mempunyai motivasi untuk memenangkan kerusi tersebut namun atas dorongan kakitangan universiti dan rakan-rakan saya terus bermotivasi dan melakukan yang terbaik…

“Bersedih hati dan kembali pulihkan diri dalam keadaan rasional bagi memastikan kebajikan pelajar dapat dilaksanakan dengan lebih efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan graduan pada Majlis Konvokesyen UMS ke-24, di sini.

Menurut Razman, nasihat dari arwah ayahnya juga merupakan penyuntik semangat untuk meneruskan pembelajaran dengan bersungguh-sungguh.

“Jika ayah saya masih ada di sini pada hari ini, sudah tentu dia juga akan merasa bangga kerana inilah pencapaian yang dia inginkan dalam diri saya.

“Kepada semua pihak, perlu ingat bahawa pendidikan tinggi adalah relevan sebagai alat efektif untuk mengubah status sosial keluarga,” ujar anak kelahiran Kinabatangan itu lagi.

Beliau berkata, pengurusan masa dan komitmen sebagai pemimpin pelajar antara cabaran yang cukup besar sepanjang pengajian.

“Namun, tidak ada yang mustahil apabila meletakkan disiplin masa dalam kehidupan harian.

“Selain daripada keluarga, Yayasan Tunku Abdul Rahman dan Affin Hwang Asset Management Berhad juga banyak membantu saya khususnya dalam sokongan kewangan, motivasi dan dalam kepimpinan,” tambahnya.