Pelajar Kejuruteraan UMS Jayakan Kembara Keusahawanan di Ho Chi Minh

Pelajar Kejuruteraan UMS Jayakan Kembara Keusahawanan di Ho Chi Minh

0
SHARE

HO CHI MINH: Seramai 15 pelajar Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menjayakan Program Kembara Keusahawanan III di Universiti Ton Duc Thang (TDTU), Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, sekaligus membuktikan kemampuan mahasiswa UMS melaksanakan program antarabangsa dengan cemerlang.

Program anjuran pelajar ini dirancang sepenuhnya selama enam bulan dengan objektif memperkukuh kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi, serta kefahaman silang budaya, di samping memupuk kreativiti dan daya keusahawanan dalam kalangan peserta.

Ketua Program Kejuruteraan Minyak dan Gas, Dr. Nurfazliana Abdullah berkata, usaha pelajar menganjurkan program bertaraf antarabangsa membuktikan keupayaan mereka mengurus projek kompleks dengan penuh profesionalisme.

“Ruang kerjasama antara TDTU dan UMS melalui program mobiliti ini memberi pendedahan luas kepada pelajar terhadap pemikiran dan budaya berbeza, serta membuka peluang interaksi dengan pelajar antarabangsa dan pasaran kerja global,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program, Nurul Nazirah Sawal, berkata program ini bukan sahaja menambah ilmu, tetapi juga menguji kemampuan pelajar mengaplikasikan teori ke dalam situasi sebenar.

“Sepanjang enam bulan perancangan hingga ke pelaksanaan di Ho Chi Minh, kami belajar tentang pengurusan bajet, komunikasi rasmi dan koordinasi lapangan. Ia pengalaman berharga yang membentuk semangat berdikari dan kepimpinan sebenar,” ujarnya.

Tambahnya, pelajar turut terinspirasi dengan budaya keusahawanan Vietnam yang progresif, yang dapat dijadikan model dalam melahirkan pelajar berfikiran global di UMS.

Kemuncak program ialah Bengkel Pertukaran Akademik antara UMS dan TDTU, di mana delegasi UMS disambut oleh Dekan Fakulti Alam Sekitar dan Keselamatan Pekerja TDTU, Dr. Ho Ngo Anh Dao.

Dalam sesi tersebut, Ketua Program Kejuruteraan Mekanikal, Dr. Mohd Kamel Wan Ibrahim, menyampaikan syarahan bertajuk “International Student Mobility in the Faculty of Engineering, UMS” bagi mempromosikan UMS sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa di rantau Asia Tenggara.

Sepanjang kembara, pelajar turut menyertai pelbagai aktiviti termasuk lawatan ke pasar tradisional, pertandingan fotografi, penerokaan produk pelancongan Vietnam serta aktiviti pertukaran budaya bersama pelajar TDTU.

Program Kembara Keusahawanan III ini merupakan kesinambungan kepada dua edisi terdahulu yang dilaksanakan di Hatyai, Thailand dan Batam, Indonesia, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Fakulti Kejuruteraan UMS melahirkan pelajar berdaya saing, berjiwa pemimpin  dan berwawasan global.