Cubaan Seludup Minyak Masak Bersubsidi Tumpas, Rampasan Lebih RM160,000 di Sandakan

Cubaan Seludup Minyak Masak Bersubsidi Tumpas, Rampasan Lebih RM160,000 di Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN: Cubaan menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menerusi satu serbuan di kawasan tepi Sungai Siguntur, Sibugal Besar, di sini, petang semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 4.30 petang itu, tiga individu ditahan bagi membantu siasatan, manakala sebuah bot, sebuah lori Isuzu tiga tan serta sejumlah besar minyak masak bersubsidi pelbagai jenama turut dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM160,469.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat risikan dan operasi penguatkuasaan bagi memerangi ketirisan serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya yang cuba dibawa keluar dari negara.

Beliau berkata, pasukan itu kekal komited memastikan setiap bentuk ketirisan dan penyeludupan dibanteras secara berterusan demi melindungi kepentingan rakyat serta hasil negara.

Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga 3 Ogos 2026, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 95 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan 91 tangkapan, dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan melebihi RM25 juta.

Jelas Amri rekod tersebut mencerminkan komitmen berterusan pasukan dalam membanteras kegiatan penyeludupan dan ketirisan barang kawalan di negeri ini.