RM15,000 Dana Khas MINDET Diluluskan, Bantu Perusahaan Sosial di Kota Marudu

RM15,000 Dana Khas MINDET Diluluskan, Bantu Perusahaan Sosial di Kota Marudu

0
SHARE

KOTA MARUDU: Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick meluluskan peruntukan khas sebanyak RM15,000 di bawah Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan MINDET bagi membantu keperluan Perusahaan Farni (One Day Station), sebuah perusahaan sosial yang beroperasi di Kampung Tonsom, di sini.

Peruntukan itu diumumkan ketika beliau mengadakan lawatan kerja rasmi ke Perusahaan Farni (One Day Station) serta Pusat Pembelajaran Komuniti Kampung Tonsom, hari ini.

Perusahaan sosial berkenaan mengusahakan produk berasaskan jagung dan sisa daun jagung, selain membimbing golongan ibu di kampung terbabit menghasilkan pelbagai produk kraf daripada bahan buangan tersebut sebagai sumber pendapatan.

Ewon berkata, perusahaan itu bukan sahaja berjaya mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti setempat, malah membangunkan model keusahawanan sosial yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan wanita di kawasan luar bandar.

Perusahaan sosial ini bukan sahaja mewujudkan peluang pendapatan kepada komuniti setempat, malah berjaya membangunkan model keusahawanan yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan wanita di kawasan luar bandar.

“Saya berbangga melihat usaha dan perjuangan perusahaan ini yang kini mendapat tempahan di tiga hotel bertaraf lima bintang di Kota Kinabalu, malah produk mereka turut menjadi sebahagian daripada dekorasi hotel-hotel berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pusat berkenaan turut membeli hasil kraf yang dihasilkan oleh ibu-ibu kampung sebelum memasarkan produk tersebut ke pasaran, sekali gus membantu menjana pendapatan komuniti.

Dalam lawatan itu, Ewon bersama pegawai kementerian turut membeli produk yang dihasilkan oleh perusahaan sosial berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) akan meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada perusahaan tersebut.

“Saya berterima kasih atas maklum balas segera daripada INSKEN yang akan mengunjungi perusahaan ini bagi meneliti bentuk sokongan yang boleh diberikan,” katanya.

Ewon berharap pengasas perusahaan sosial itu, Farni Milis bersama komuniti ibu yang terlibat akan terus mengembangkan perusahaan mereka demi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan replika cek Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan MINDET bernilai RM20,000 kepada Persatuan Penduduk Kampung Tagaroh, Kota Marudu bagi melaksanakan program keusahawanan untuk ahli-ahli persatuan.